KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Sebanyak 8,466 usahawan kaum India menerima manfaat menerusi beberapa program di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini.
Program berkenaan termasuk Prosperity Empowerment and A New Normal for Indian Women (PENN), Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) dan Skim Pembiayaan Pemerkasaan SPUMI (SPUMI Goes Big).
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R Ramanan berkata inisiatif yang dijalankan membuktikan komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkasakan dan menggalakkan kemajuan masyarakat India dalam bidang keusahawanan.
“Ini juga bukti bahawa masyarakat India, khususnya usahawan dari pelbagai latar belakang, tidak dipinggirkan untuk turut sama menikmati arus pembangunan ekonomi negara,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Skim Pembiayaan Vanigham kepada Usahawan India di bawah Bank Pembangunan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia Berhad (SME Bank) di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Keusahawanan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saidatu Akhma Hassan dan Pengerusi SME Bank Datuk Muslim Hussain.
Menerusi skim ini, SME Bank memperuntukkan pembiayaan sebanyak RM50 juta bagi memperkasakan perusahaan kecil masyarakat India di negara ini.
Skim itu menawarkan kadar keuntungan rendah hingga enam peratus dengan pembiayaan antara RM100,000 hingga RM300,000 bagi pembelian mesin, kenderaan komersial dan modal kerja, disertakan subsidi kadar keuntungan daripada kerajaan.
Mengulas lanjut mengenai skim pembiayaan Vahingham, Ramanan berkata SME memperuntukkan lebih daripada pembiayaan asal iaitu RM50 juta bagi skim itu berikutan sambutan menggalakkan.
“Setakat hari ini, jumlah keseluruhan yang telah diluluskan ialah RM140 juta. Walaupun kita buka untuk RM50 juta, kelulusan ialah RM140 juta.
“Saya tahu banyak akan tanya bagaimana wujudnya baki RM90 juta itu. Bagi penerima yang membuat permohonan lebih besar, SME Bank telah meletakkan mereka di satu tempat yang mereka boleh masuk dalam mana-mana program lain di bawah SME Bank,” katanya.
Beliau berkata ini merupakan langkah proaktif SME Bank dalam menggalakkan pertumbuhan perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) di negara ini.
Pada hari ini, sebanyak 20 usahawan yang merupakan kumpulan pertama, menerima skim itu melibatkan peruntukan berjumlah RM2 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial