SHAH ALAM, 26 Jun (Bernama) -- KDEB Waste Management (KDEBWM) menegaskan skala operasi besar dengan lebih 1,500 unit kenderaan di seluruh Selangor antara punca syarikat pengendalian sisa pepejal dan pembersihan awam itu memiliki jumlah saman tertunggak tertinggi.
Pengarah Urusannya Datuk Ramli Mohd Tahir berkata modul perniagaan KDEBWM yang menyediakan kenderaan seperti lori sampah (kompaktor) dan roll on roll off (RoRo) kepada subkontraktor yang dilantik menyebabkan setiap kesalahan yang dilakukan oleh kenderaan berkenaan, saman dikeluarkan atas nama KDEBWM selaku pemilik.
Beliau berkata selaku syarikat milik penuh kerajaan negeri Selangor, pihaknya mengambil tanggungjawab membina ekosistem perniagaan yang lebih terbuka demi memastikan isu kebersihan di negeri ini berada pada tahap terbaik dengan menyediakan kenderaan diperlukan kepada subkontraktor.
"Apabila KDEBWM diberi mandat dan mengambil alih pengurusan sampah domestik dan pembersihan awam pada 2016, kita melaksanakan modul perniagaan yang berbeza dan tidak pernah dibuat oleh orang lain iaitu membuat pelaburan besar untuk pembelian aset.
"Selepas urusan pembelian lori selesai, kita serahkan kepada vendor atau syarikat yang dilantik dan apabila kita yang membeli aset tersebut, pastinya nama KDEBWM selaku pemilik kenderaan tertulis dalam geran pemilikan," katanya pada sidang media penjelasan isu laporan berkaitan jumlah saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di pejabat agensi di sini hari ini.
Semalam, Kementerian Pengangkutan mendedahkan senarai 11 syarikat pengendali kenderaan barangan dan 17 syarikat bas ekspres yang mencatatkan jumlah saman tertunggak tertinggi atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke dilaporkan berkata antara syarikat terbabit ialah KDEBWM dengan 22,017 saman, Mainiza Mantap Sdn Bhd (5,108), Advancecon Mantap Sdn Bhd (3,620), Cepat Ekspres Sdn Bhd (540) dan New Hoover Ekspress & Travels Sdn Bhd (512).
Mengulas lanjut, Ramli berkata bagi setiap kesalahan yang dilakukan, saman sama ada oleh pihak JPJ atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikeluarkan secara terus kepada pemandu dan dalam hal ini, pemandu sepatutnya menyerahkan saman tersebut kepada syarikat atau vendor tempat mereka digajikan.
Beliau berkata kelemahan dalam penyampaian maklumat notifikasi saman seperti pemandu tidak menyerahkan kepada majikan menyebabkan saman tersebut 'dilonggokkan' atas nama KDEBWM sedangkan berdasarkan kontrak, syarikat subkontraktor yang dilantik secara sah itu perlu bertanggungjawab terhadap sebarang saman yang dikeluarkan ke atas kenderaan atau pemandu masing-masing.
"Selepas saman itu tidak dijelaskan dalam masa tiga bulan, pihak JPJ akan menghantar notis saman yang dimasukkan ke dalam sampul sebagai surat berdaftar atau notis peringatan, dan dari situ baru kita tahu ada pelanggaran undang-undang dan kesemua saman itu adalah atas nama KDEBWM.
"Cuba bayangkan kita ada 1,500 lori dan ia beroperasi setiap hari tanpa henti termasuk hujung minggu serta cuti umum bagi memastikan tahap kebersihan dan perkhidmatan terbaik untuk rakyat, dan jika dua saman bagi satu lori sehari, kita sudah kumpul 3,000 saman dalam sebulan dan 9,000 saman untuk tempoh tiga bulan," katanya.
Bagi menangani kelemahan tersebut, Ramli berkata pihaknya sedang menimbang untuk menambah baik klausa dalam perjanjian dengan syarikat subkontraktor seperti memperketatkan lagi aspek penalti dan kompaun yang dikenakan kepada mereka yang melanggar syarat perjanjian memandangkan insiden serupa masih berulang walaupun ada tindakan penamatan kontrak dikenakan kepada beberapa subkontraktor sebelum ini.
Beliau berkata penjelasan ini dibuat bagi memberi pencerahan kepada punca tunggakan saman tersebut yang sedikit sebanyak memberi kesan kepada ketelusan dan integriti yang diterapkan KDEBWM, selain mengambil peluang memperbaiki punca kelemahan tersebut.
Berhubung jumlah saman, Ramli berkata pihaknya akan berjumpa dengan JPJ bagi mendapatkan maklumat tepat mengenai bilangan saman terkumpul kerana semakan pihaknya melalui platform MyJPJ pagi tadi menunjukkan jumlah saman aktif bagi KDEBWM sebanyak 14,332 saman berbanding 22,017 saman seperti diumumkan semalam.
Dari segi jumlah saman yang dibayar pula, beliau berkata untuk tahun ini RM146,890 telah dibayar daripada 1,237 saman yang diterima manakala keseluruhan saman yang selesai dijelaskan oleh pihaknya dan syarikat subkontraktor sejak KDEBWM beroperasi pada 2015 hingga Jun ini lebih RM2.38 juta daripada 23,235 saman yang diterima.
"Bagi saman yang tertunggak itu, pihak kami komited untuk selesaikan dalam tempoh masa 14 hari yang diberikan, dan dalam masa sama kita juga akan tingkat kekerapan mendapatkan maklumat berkaitan saman daripada JPJ kepada dua minggu sekali berbanding sebulan sekali sebelum ini," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial