KOTA KINABALU, 26 Jun (Bernama) -- Sabah Electricity Sdn Bhd (Sabah Electricity) dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) hari ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memastikan bekalan elektrik dapat disalurkan ke seluruh negeri.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata MoU selama setahun itu adalah selaras dengan peranan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) dalam menyampaikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan masing-masing.
“Usaha ini melengkapi inisiatif kerajaan negeri untuk memastikan rakyat di negeri ini terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman mendapat akses kepada bekalan elektrik,” katanya menerusi kenyataan selepas menyaksikan majlis menandatangani MoU antara Sabah Electricity dan UPPM Sabah di Menara Kinabalu hari ini.
Pada majlis itu Sabah Electricity diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Mohd Yaakob Jaafar manakala UPPM Sabah diwakili pengarahnya Datuk Awang Kadin Tang.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong dan Peguam Besar Negeri Datuk Brenndon Keith Soh.
Hajiji berkata menerusi kerjasama itu Sabah Electricity dan UPPM Sabah akan dapat meningkatkan sambungan bekalan elektrik khususnya di kawasan yang belum diliputi, membangunkan infrastruktur tenaga mampan serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat mengenai perkhidmatan dan fungsi Sabah Electricity termasuk penggunaan tenaga yang efisien.
“Kerjasama strategik antara Sabah Electricity dan UPPM Sabah ini akan menjadi titik fokus kepada semua perkara berkaitan perkhidmatan Sabah Electricity selain membuka peluang pekerjaan kepada rakyat di Sabah,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial