Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

TUDM Teliti Konflik Global Untuk Pastikan Perancangan Kekal Relevan - PTU

26/06/2025 04:01 PM

SUBANG, 26 Jun (Bernama) – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sentiasa meneliti situasi keselamatan global sebagai langkah memastikan perancangan jangka panjang yang dilaksanakan mampu mengekalkan kerelevanan dan kesiapsiagaan pasukan itu.

Panglima Tentera Udara (PTU) Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris berkata banyak yang boleh dipelajari pasukan itu daripada konflik yang sedang berlaku termasuk antara Rusia dan Ukraine, India dan Pakistan serta Iran dan Israel.

Muhamad Norazlan yang dilantik sebagai PTU ke-21 menggantikan Jeneral Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan hari ini berkata penelitian terhadap konflik antarabangsa itu juga memberi peluang kepada TUDM untuk menambah baik perancangan yang dilakukan dalam Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP55).

“Saya akan memastikan segala perancangan yang telah disusun dalam CAP55 diteruskan bersama barisan kepimpinan TUDM yang baharu bagi memastikan TUDM terus menjadi sebuah kuasa udara berkredibiliti, unggul dan berspektrum penuh.

“Jika perlu dilakukan sebarang perubahan, kita akan lakukan kerana kita perlu menjadi relevan dengan keadaan semasa,” katanya kepada pemberita selepas istiadat perbarisan persaraan Mohd Asghar Khan di Pangkalan Udara Subang, hari ini.

Muhamad Norazlan turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar atas kepercayaan, bimbingan dan sokongan bagi beliau memegang jawatan berkenaan.

“Dengan rasa hormat dan rendah diri, saya mewakili seluruh warga TUDM menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Mohd Asghar Khan atas segala jasa, pengorbanan, kepimpinan dan khidmat bakti yang telah dicurahkan sepanjang tempoh beliau menerajui pasukan ini,” katanya.

Terdahulu, Upacara Serah Terima Tugas Muhamad Norazlan sebagai PTU ke-21 disaksikan Mohd Nizam.

Pada majlis itu, Mohd Asghar Khan menerima tabik hormat daripada 24 pegawai dan 403 anggota lain-lain pangkat dan melibatkan lapan panji-panji dalam TUDM.

Majlis dihadiri pegawai kanan TUDM dan atase pertahanan asing itu turut menyaksikan lintas hormat daripada pesawat SU-30MKM, F/A-18D, C-130H, A400M, PC7 MKII serta helikopter EC-725 AP.

Sementara itu, Mohd Asghar Khan dalam ucapan berkata beberapa sistem dan platform seperti pesawat tanpa pemandu, pesawat tempur ringan FA-50, pesawat rondaan maritim, radar pertahanan udara dan helikopter dalam proses perolehan dan akan mula diterima Oktober ini hingga hujung 2028.

“Semua aset ini akan memberi peningkatan di dalam keupayaan TUDM untuk melaksanakan tugas mempertahankan ruang angkasa tanah air tercinta ini.

“Seterusnya, pengukuhan struktur latihan dan pembangunan modal insan giat dilaksanakan dengan penghantaran pegawai dan anggota menghadiri kursus di dalam dan luar negara, meluaskan ilmu pengetahuan untuk membolehkan TUDM menerima dan mengoperasikan aset-aset baharu secara profesional dan berkesan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan