PUTRAJAYA, 26 Jun (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu pembangunan Kota MADANI di Presint 19 di sini dijadikan contoh teladan bagi pelaksanaan pembangunan bandar di seluruh negara.
Beliau berkata pembangunan itu tidak seharusnya ditentukan sepenuhnya oleh pemaju semata-mata, sebaliknya perlu dirancang menerusi pendekatan menyeluruh yang menekankan aspek kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan juga perlu berhenti bergantung sepenuhnya kepada cadangan pemaju, sebaliknya memainkan peranan utama dalam merancang pembangunan bandar yang menitikberatkan elemen budaya, nilai kemanusiaan dan kualiti hidup.
“Jangan hanya tunduk kepada pemaju. Kitalah yang sepatutnya merancang, manakala pemaju hanya berperanan memberi pandangan untuk penambahbaikan.
“Jangan biarkan sesuatu projek ditentukan sepenuhnya oleh syarikat pemaju, kerana lazimnya mereka hanya memberi saranan berdasarkan kepentingan keuntungan semata-mata,” katanya ketika berucap pada majlis perasmian projek pembangunan Kota MADANI di Presint 19, di sini hari ini.
Anwar menegaskan syarikat pemaju perlu memenuhi prinsip dan keperluan rakyat, meskipun realitinya tiada pemaju yang akan melaksanakan projek bernilai RM4 bilion tanpa mengambil kira keuntungan.
Beliau berkata pelaksanaan projek pembangunan Kota MADANI dapat dipercepatkan kerana ia melibatkan tanah milik kerajaan dan diselaraskan oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS).
“Mesyuarat Jemaah Menteri semalam masih membincangkan mengenai Kota MADANI kerana jika kita lihat secara terperinci, keutamaan adalah untuk penjawat awam. Kita mahu mereka bekerja dalam keadaan yang selesa dan memiliki jaminan perumahan,” katanya.
Anwar turut mengulas pandangan sesetengah pihak yang mempersoalkan keperluan membangunkan projek baharu sedangkan terdapat projek lama yang masih belum disiapkan.
“Ada yang kritik…mengapa bangunkan projek baharu, sedangkan banyak projek lama masih tersadai,” katanya.
Beliau menjelaskan bahawa projek-projek lama juga sedang diselesaikan secara progresif, dengan kadar kemajuan antara 96 hingga 98 peratus siap, manakala pembinaan projek baharu seperti Kota MADANI adalah untuk memenuhi keperluan mendesak semasa, termasuk penjawat awam.
“Bagi projek yang akan datang ini, fasa pertama melibatkan 3,000 unit. Fasa kedua pun saya sudah beritahu kepada Datuk Fadlun Mak Ujud (Presiden Perbadanan Putrajaya), cepatkanlah. Jangan sampai empat atau lima tahun lagi. Penjawat awam tak sabar, Perdana Menteri pun tak sabar,” katanya.
Kota MADANI bakal merangkumi 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk, sekolah menegak serta pelbagai kemudahan awam.
Pembangunan itu dirangka dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital pintar dan sistem mobiliti hijau.
Kemudahan lain yang dirancang termasuk institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), sekolah, klinik kesihatan, balai bomba, balai polis, masjid, institusi kewangan serta reka bentuk berunsur budaya tempatan bagi mengekalkan warisan seni bina.
Fasa pertama pembangunan dijangka bermula pada September ini dan siap menjelang akhir 2027.
Turut hadir pada majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial