GUA MUSANG, 25 Jun (Bernama) -- Pemaju Projek Hidrokuasa Kecil (PHK) Kemubu bersama beberapa syarikat kuari bersetuju membaik pulih kerosakan jalan yang berpunca daripada pergerakan lori membawa muatan berlebihan ke tapak projek di Mukim Kuala Stong, Dabong, Kuala Krai.
Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Kelantan Nik Soh Yaacoub berkata kerosakan dikesan di beberapa laluan utama antaranya Jalan Kemubu-Bertam dan Jalan Kampung Biak di Kuala Krai serta Jalan Bertam Lama-Jerek dan sebahagian laluan di kawasan Gua Musang.
“Berdasarkan pemakluman daripada wakil JKR jajahan, pihak pemaju akan membaiki semula jalan itu sebagaimana asal, melibatkan dasar asas sehingga ke permukaan turapan bagi memastikan keadaan jalan raya kembali pulih.
“Jalan berkenaan rosak sehingga ke struktur dasar asas berpunca daripada lori yang membawa lebih muatan batuan dari kuari di Gua Musang ke PHK di Kemubu,” katanya kepada Bernama hari ini.
Nik Soh berkata kerosakan itu dipercayai melibatkan lori 10 tayar yang membawa muatan lebih 30 tan melalui Jalan Kemubu-Bertam, Jalan Bertam Lama, Jalan Jerek dan Jalan Kampung Biak.
Pada 17 Jun lepas, Bernama melaporkan kira-kira 5,000 pengguna jalan raya berdepan risiko kemalangan dan kerosakan kenderaan akibat keadaan jalan yang rosak teruk di Kampung Bertam Lama di sini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata pihaknya berharap pemantauan kualiti yang dilakukan oleh JKR akan memastikan jalan yang dibaik pulih boleh digunakan dalam tempoh yang lama meskipun dilalui lori bermuatan bahan binaan.
“Sebelum ini, kerja baik pulih telah dilakukan oleh pihak syarikat kuari, namun ia dijalankan secara tidak tersusun. Kali ini, kita mendapat nasihat teknikal daripada JKR dan pihak konsesi agar kerja pembaikan mengikut spesifikasi dan tahan lama.
“Kita juga mengharapkan agar jalan raya dibaik pulih dengan segera dan semua pihak bertanggungjawab, termasuk beberapa syarikat kuari dan empangan mini. Ia perlu bagi memastikan keselesaan penduduk di sini,” katanya ketika ditemui di Kampung Bertam Lama hari ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial