Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Program Cabut Undi Tingkatkan Kebolehpasaran Kontraktor Bumiputera - Nanta

23/06/2025 07:48 PM

KUCHING, 23 Jun (Bernama) -- Program Cabutan Undi bagi kontraktor G1 hingga G4 yang diperkenalkan sejak 2020 oleh Kementerian Kerja Raya telah meningkatkan standard, keupayaan, daya saing dan kebolehpasaran kontraktor bumiputera.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata prosedur yang baik akan melahirkan hasil yang baik dan usaha itu akan diteruskan dengan penambahbaikan dari tahun ke tahun.

"Proses cabutan undi adalah mekanisme yang telus dan adil dalam memilih kontraktor yang terpilih dari kumpulan kontraktor yang layak dan berwibawa dengan rekod yang baik. 

"Inilah komitmen berterusan Kerajaan MADANI melalui teras MADANI iaitu Kemampanan, Daya Cipta dan Keyakinan dalam memperkasakan dan memperkukuh ekonomi Kontraktor Bumiputera tempatan," katanya pada Majlis Cabutan Undi Kerja Kontrak Berkala Penyenggaraan Jalan Persekutuan Negeri Sarawak Tahun 2025 bagi Kontraktor G1-G4 di sini, hari ini.

Nanta berkata kontrak yang diberikan bukan sekadar kerja semata-mata tetapi satu amanah yang menuntut komitmen tinggi untuk memastikan kerja penyenggaraan jalan dilaksanakan mengikut spesifikasi, demi keselamatan pengguna jalan raya.

"Pertama, pastikan pengurusan kontrak yang baik dan teratur. Fahami kandungan kontrak secara mendalam termasuk spesifikasi kerja, jadual pelaksanaan serta keperluan pelaporan.

“Kedua, amalkan pengurusan kerja dan sumber yang cekap. Ini merangkumi penjadualan kerja yang tersusun, pengurusan tenaga kerja serta penggunaan sumber seperti jentera dan bahan mentah secara optimum.

“Ketiga, utamakan pengurusan kewangan yang sihat. Banyak kontraktor menghadapi masalah dalam sektor binaan dan penyelenggaraan akibat kelemahan dalam pengurusan projek dan kewangan," katanya.

Beliau berkata kelemahan kontraktor dalam melaksanakan tanggungjawab mereka boleh menyebabkan orang awam menjadi mangsa akibat jalan raya yang tidak disenggara dengan baik serta tidak mengikut spesifikasi kontrak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan