Oleh Thivyamalini Ramalu
PUTRAJAYA, 25 Jun (Bernama) -- Permohonan untuk menambah kuarters kerajaan di Putrajaya sejak 25 tahun lepas bakal menjadi realiti dengan pembangunan Kota MADANI di Presint 19, di sini, kata Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Fadlun Mak Ujud.
Bercakap kepada Bernama dan RTM di sini hari ini, beliau berkata unit kuarters kerajaan masih mendapat permintaan tinggi terutamanya daripada kumpulan sokongan yang menyewa agak jauh dari tempat kerja.
“Dalam pelan induk asal pada 1998, memang kita telah rancangkan untuk kediaman ini. Jadi memandangkan jumlah permintaan (kuarters) yang kita terima sekarang ini, yang terbaharu adalah dalam 17,000 pemohon dari pelbagai kategori.
“Sejak tahun 2000 seingat saya untuk (permohonan) menambah kuarters, akhirnya pada tahun 2025 baru kita berjaya melaksanakan pembangunan kuarters ini setelah sekian lama tidak dibangunkan,” katanya.
Dengan keluasan 41.28 hektar, Kota MADANI bakal menempatkan 10,000 unit kuarters kediaman berintensiti tinggi yang mampu menampung lebih 30,000 penduduk.
Pembangunan itu turut dirangka dengan integrasi teknologi kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital cekap dan sistem mobiliti hijau.
Mengulas tanggapan sesetengah pihak bahawa projek itu menggunakan dana awam, Fadlun menegaskan pembangunan itu dilaksanakan menerusi kerjasama awam-swasta oleh Putrajaya Holdings menggunakan konsep konsesi bina-pajak-senggara-pindah (BLMT).
“…dan ini dapat mengurangkan kos sebenarnya kerana kerajaan tidak mengeluarkan sebarang peruntukan dan ia ditanggung oleh pihak pemaju. Cuma tempoh bayar balik akan ditetapkan oleh pihak Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS),” katanya.
Pembangunan Kota MADANI di Presint 19 akan dilaksanakan secara berfasa dijangka bermula suku ketiga tahun ini dengan kos pembangunan dianggarkan berjumlah RM4 bilion.
Pembangunan tersebut adalah pelaburan strategik jangka panjang dalam merangka masa depan Putrajaya sebagai bandar contoh yang mendukung nilai MADANI dan selari visi Bandar CHASE iaitu bandar yang bersih, sihat, maju, selamat dan mesra alam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial