KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Semua 156 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara diseru meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan mempercepat pelaksanaan projek pembangunan rakyat bagi mewujudkan persekitaran yang lebih mesra pelabur.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata langkah tersebut penting untuk menambah baik aspek kemudahan menjalankan perniagaan (ease of doing business) sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi serta meningkatkan daya saing negara di peringkat global.
Beliau yang menyambut baik saranan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengenai isu kelewatan pelaksanaan projek dan kerenah pentadbiran yang telah berlarutan sejak era 1980-an, dan menegaskan bahawa perkara tersebut tidak boleh lagi dibiarkan berulang.
“Kerajaan MADANI di bawah pimpinan Perdana Menteri komited memperkukuh pertumbuhan ekonomi negara. Bagi mencapai matlamat ini, kita perlu memastikan perkhidmatan awam yang berkualiti, khususnya dalam proses kelulusan dan pelaksanaan, agar mutu hidup rakyat dapat ditingkatkan dan persekitaran yang mesra pelabur dapat diwujudkan.
“Kini Malaysia telah menjadi antara negara yang paling pesat membangun, dengan peningkatan 11 anak tangga dalam World Competitiveness Ranking, daripada kedudukan ke-34 kepada ke-23. Justeru, semua PBT perlu bergerak pantas kerana masa amat berharga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan itu katanya, KPKT telah menetapkan tempoh maksimum kelulusan sesuatu projek pembangunan berdasarkan skala projek iaitu bagi projek berskala kecil, tempoh kelulusan ditetapkan 14 hari, manakala projek berskala sederhana, sehingga 60 hari.
“Manakala bagi projek berskala besar, tempoh kelulusan maksimum ialah 120 hari, termasuk proses tender terbuka. Ketetapan ini bertujuan untuk memastikan kelulusan projek dapat dilakukan secara lebih cekap dan teratur mengikut keperluan setiap skala,” katanya.
Sementara itu, Nga berkata KPKT turut melaksanakan sistem pemantauan prestasi berasaskan ‘lampu isyarat’ sebagai pertimbangan kelulusan peruntukan yang melibatkan tiga komponen penilaian iaitu Kecekapan dan pematuhan proses perolehan (30 peratus) dan Kemajuan pelaksanaan projek dan pematuhan terhadap jadual kerja dan spesifikasi teknikal (40 peratus).
Sementara ketepatan masa dalam penghantaran dokumen lengkap bagi tuntutan dan penyaluran peruntukan melalui sistem EFT (30 peratus).
“PBT juga akan dikategorikan berdasarkan penilaian seperti Hijau – Prestasi cemerlang, peruntukan diteruskan atau ditambah, Kuning – Prestasi sederhana, peruntukan akan dinilai semula dan Merah – Prestasi lemah, peruntukan akan dipotong atau dibatalkan,” katanya
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial