Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

IWK Nafi Air Kumbahan Punca Banjir Di Taman Sri Muda

25/06/2025 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 25 Jun (Bernama) -- Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd hari ini menafikan laporan media SelangorKini yang mendakwa air kumbahan sebagai punca kejadian banjir di kawasan perumahan Taman Sri Muda, Shah Alam, Selangor.

Menurut IWK, selepas menerima aduan daripada Ahli Majlis Zon 9, Ramu Nadarajan, pasukan operasinya telah menjalankan semakan dan mendapati punca utama limpahan dalam longkang dan parit adalah disebabkan kurangnya penyelenggaraan yang baik.

"Longkang dan parit berkaitan didapati penuh dengan sampah, mendapan pasir dan juga akar pokok yang telah menutupi saluran longkang berkenaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keadaan itu menyebabkan aliran air kumbahan terawat dari Loji Rawatan Kumbahan (LRK) berdekatan, serta air hujan dari kawasan perumahan tersebut tidak dapat mengalir dengan lancar.

Selain itu, lokasi taman itu yang rendah dan berhampiran Sungai Klang menyebabkan kawasan berkenaan kerap terdedah kepada banjir.

IWK turut memaklumkan bahawa sistem paip pembetungan dan LRK sedia ada yang telah beroperasi lebih 30 tahun itu dibina mengikut perancangan teknikal terperinci berdasarkan pelan pembangunan kawasan perumahan tersebut.

Menurut kenyataan itu, laluan pelepasan air terawat dari loji tersebut adalah laluan asal sejak pembinaan awal.

“Menerusi semakan rekod, terdapat dua LRK jenis Aerated Lagoon (AL) di kawasan perumahan ini dan kedua-duanya beroperasi pada kapasiti penduduk setara (PE) seperti yang direka bentuk, tanpa sebarang bebanan melampau (overloading),” menurut IWK.

Hasil semakan dan penemuan itu telah dimaklumkan kepada Ahli Majlis Zon 9 dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).

SelangorKini hari ini melaporkan gesaan Ramu Nadarajan yang meminta IWK mempercepatkan proses pengalihan aliran air kumbahan ke lokasi yang lebih sesuai, kerana mendakwa laluan sedia ada menjadi punca banjir di taman berkenaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan