KUALA NERUS, 24 Jun (Bernama) -- Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin hari ini berkenan berangkat ke Majlis Pengisytiharan dan Seminar Warisan Asia Pasifik Surat Persendirian Baginda Omar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT).
Keberangkatan baginda dan Sultanah Terengganu Sultanah Nur Zahirah disambut Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Timbalan Menteri Perpaduan Negara K.Saraswathy.
Turut berangkat Yang Dipertuan Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail, Tengku Sri Setia Mahkota Raja Tengku Datuk Seri Muhammad Mu'az, Tengku Puteri Utama Raja Tengku Datuk Seri Nadhirah Zahrah serta Tengku Puteri Daulath Raja Tengku Datuk Seri Fatimatuz Zahra.
Saraswathy ketika berucap pada majlis itu berkata Baginda Omar atau Sultan Omar Ibni Sultan Ahmad Shah ialah Sultan Terengganu Kesembilan yang memerintah dari 1839 hingga 1876.
Beliau berkata dalam tempoh pemerintahan, baginda telah menulis surat-surat persendirian yang melibatkan aspek pentadbiran, hubungan diplomatik dan perdagangan antara kerajaan Terengganu dengan negara luar termasuk Riau-Lingga, Siam dan British pada abad ke-19.
"Sebanyak 56 naskhah atau koleksi Surat Persendirian Baginda Omar disimpan di Arkib Negara Malaysia sebagai khazanah yang bernilai. Koleksi surat persendirian ini telah dikumpulkan oleh Syeikh Ulama Tok Ku Tuan Besar Paduka Indera Engku Syed Seri Perdana Engku Muhammad, seorang tokoh diplomat dan pentadbir terkemuka pada zaman Sultan Baginda Omar.
"Koleksi ini diwarisi oleh keturunannya sebelum diserahkan kepada Arkib Negara Malaysia pada 1992 untuk simpanan kekal," katanya.
Saraswathy berkata Surat Persendirian Baginda Omar telah diiktiraf sebagai warisan kebangsaan pada 30 Sept 2010 oleh Jabatan Warisan Negara dan diangkat sebagai dokumen peringkat serantau oleh Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di bawah Memory of The World Committee for Asia and the Pacific (MOWCAP) pada 8 Mei 2024.
Beliau berkata Arkib Negara telah menjalankan proses pemeliharaan, pemuliharaan terhadap surat asal dan disimpan di bilik khas repositori di Kuala Lumpur.
"Pada awal 2024 kerja-kerja pendigitalan surat asal telah dilakukan. Dokumen ini bukan sahaja mencerminkan kebijaksanaan baginda dalam mentadbir Terengganu, tetapi juga meningkatkan aktiviti perdagangan dan hubungan diplomasi dengan kuasa luar.
"Arkib Negara sebagai institusi yang bertanggungjawab dalam pemeliharaan dokumen akan terus memainkan peranan yang signifikan dalam memastikan khazanah bangsa terus dipelihara," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial