KUALA LUMPUR, 24 Jun (Bernama) -- Kejayaan Malaysia memperbaiki pencapaian dalam Kedudukan Daya Saing Dunia (WCR) 2025 didorong oleh kerangka reformasi institusi yang kukuh di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata antaranya peranan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang dipengerusikannya pagi ini, dan turut dihadiri oleh semua ketua setiausaha dan ketua perkhidmatan yang lain.
“Semasa saya menghadiri mesyuarat IMD di Lausanne, Switzerland pada tahun lepas, saya telah menerangkan kepada IMD betapa perkhidmatan awam negara sedang melaksanakan reformasi penyampaian perkhidmatan dengan tangkas dan pantas.
“Ia dimanifestasi melalui pasukan STAR di peringkat operasi yang telah berjaya mengkoordinasikan lebih 1,000 projek reformasi kerenah birokrasi (RKB) di seluruh negara,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau berkata sebagai contoh, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) kini menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk meluluskan pelan bangunan dalam masa satu hari daripada 14 hari sebelum ini.
“Di Kedah, permohonan pembangunan tanah yang sebelum ini mengambil masa lebih setahun kini diselesaikan dalam tiga bulan melalui platform Inisiatif Urus Jamin Kelulusan Tanah (iUJKT). Di Kementerian Kerja Raya, masa untuk meluluskan bahan binaan dipendekkan daripada 30 hari ke 14 hari, dan banyak lagi projek melumpuhkan kerenah birokrasi sedang rancak dilaksanakan,” katanya.
Shamsul Azri yakin bahawa dengan iltizam tinggi semua pihak, negara akan terus mengungguli carta penarafan daya saing antarabangsa pada masa hadapan.
Laporan terkini WCR 2025 menunjukkan Malaysia naik 11 anak tangga daripada tempat ke-34 pada 2024 kepada kedudukan ke-23, juga merupakan pencapaian terbaik negara sejak 2020.
WCR diterbitkan setiap tahun oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) yang berpangkalan di Switzerland dan merupakan laporan komprehensif yang menilai ekonomi berdasarkan keupayaan menjana serta mengekalkan persekitaran mesra perniagaan yang menyumbang kepada kemakmuran jangka panjang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial