Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

STPM: Penantian 10 Tahun Berakhir, PNGK Negeri Sembilan Melepasi Kebangsaan

24/06/2025 04:43 PM

SEREMBAN, 24 Jun ( Bernama) -- Penantian selama sedekad berakhir apabila Negeri Sembilan mencatat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024, iaitu 2.86 sekali gus buat kali pertama mengatasi PNGK kebangsaan yang merekodkan 2.85.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata pencapaian yang dinanti sejak 2014 itu berjaya direalisasikan hasil usaha berterusan dan komitmen tinggi para pendidik, selain pelbagai inisiatif kerajaan negeri dalam mempertingkatkan kualiti pendidikan di negeri ini.

"Buat kali pertama PNGK Negeri melepasi PNGK Kebangsaan, biarpun tidak banyak hanya 0.01 sahaja tetapi saya sangat menghargainya dan berterima kasih kepada semua pihak terutama institusi pendidikan, sekolah, ibu bapa dan pelajar bagi memastikan kecemerlangan ini.

"Pelbagai bantuan dan peruntukan diberikan bagi menyokong kecemerlangan pendidikan di negeri ini, malah menerusi Yayasan Negeri Sembilan pelbagai insentif disediakan untuk membantu pembangunan sosiopendidikan termasuk peruntukan RM100,000 program tuisyen bagi pelajar STPM,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan keputusan kepada calon cemerlang STPM Negeri di Kolej Tingkatan Enam (KTE) Tuanku Muhriz di sini hari ini.

Aminuddin berkata pada tahun lepas kerajaan negeri memperuntukkan RM12 juta bagi sektor pendidikan dan dijangka bertambah pada tahun seterusnya bagi memastikan prestasi pendidikan lebih berdaya saing.

Sementara itu, pelajar terbaik aliran Sains peringkat Negeri Sembilan, Hew Siow Xuan,20, dari kolej berkenaan berkata dia menghabiskan masa hujung minggu dengan mengikuti kelas tuisyen dan kelas tambahan sekurang-kurangnya lapan jam.

Anak sulung daripada dua beradik itu berharap cita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Kejuruteraan Petroleum tercapai.

Seorang lagi pelajar cemerlang, Muhammad Fahrin Danial Abd Aziz, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Mantin berkata kejayaan tidak hanya bergantung kepada usaha belajar semata-mata, sebaliknya turut dipengaruhi oleh amalan sikap positif dalam kehidupan seharian.

“Pertama sekali, kita perlu menjaga solat dan hubungan dengan Allah, diikuti hubungan baik dengan ibu bapa serta guru. Semua itu faktor penting yang mendorong kejayaan seseorang,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan