GEORGE TOWN, 21 Jun (Bernama) -- Seramai 4.8 juta daripada 5.4 juta penerima bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah memanfaatkan kemudahan penggunaan MyKad untuk membeli barangan keperluan asas di premis berdaftar seluruh negara setakat bulan ini.
Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata Perlis mencatat kadar penggunaan tertinggi iaitu 94 peratus, diikuti Sabah dan Kedah masing-masing 93 peratus, manakala Pulau Pinang mencatatkan kadar 88 peratus.
Beliau berkata, statistik tersebut mencerminkan keberkesanan pelaksanaan inisiatif berkenaan yang semakin baik hasil pelbagai usaha penerangan dan promosi termasuk di peringkat negeri.
“Pihak kementerian akan terus mempergiat kempen kesedaran bagi memastikan rakyat memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang disediakan kerajaan untuk meringankan beban kewangan mereka.
“Malah, jumlah penerima program ini juga telah ditingkatkan secara signifikan, daripada 700,000 kepada 5.4 juta orang bermula April lepas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program SARA Kementerian Kewangan bersama penerima SARA di sebuah pasar raya besar di sini, hari ini.
Dalam program itu, Lim turut menyantuni 100 penerima SARA sebagai sebahagian daripada usaha kementerian turun padang untuk berinteraksi secara langsung dengan penerima di kawasan bandar.
Beliau berkata Pulau Pinang merekodkan 293,000 penerima, dengan 88 peratus daripada mereka telah membuat pembelian menggunakan MyKad.
Setakat ini, katanya sebanyak 3,700 premis peruncitan di seluruh negara telah berdaftar di bawah program berkenaan bagi membolehkan penerima membeli keperluan harian tanpa perlu ke lokasi yang jauh, termasuk 190 premis di Pulau Pinang.
Mengulas lanjut, beliau berkata bermula 1 Mei lepas, kerajaan turut menambah baik pelaksanaan program itu dengan meluaskan kategori barangan asas yang dibenarkan, termasuk produk kebersihan rumah dan diri, ubat-ubatan serta peralatan persekolahan seperti pakaian dan kasut, menjadikan jumlah keseluruhan setakat ini sebanyak 14 kategori.
“Selain itu, kadar maksimum bantuan SARA bagi tahun 2025 turut dinaikkan kepada RM2,100, berbanding RM1,200 pada tahun lepas, iaitu peningkatan sebanyak 75 peratus,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa secara keseluruhan, jumlah bantuan di bawah program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA telah ditingkatkan kepada RM13 bilion pada tahun ini, menjadikannya peruntukan bantuan tunai tertinggi dalam sejarah penyaluran oleh kerajaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial