Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

JPJ Melaka Keluarkan 39 Saman Babitkan Perkhidmatan Bas Henti-henti

18/06/2025 04:02 PM

MELAKA, 18 Jun (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka mengeluarkan sebanyak 39 saman atas pelbagai kesalahan dalam satu operasi khas penguatkuasaan perkhidmatan bas henti-henti di negeri itu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka Siti Zarina Mohd Yusop berkata Op Pinky yang dilaksanakan semalam di beberapa lokasi di sekitar negeri itu menumpukan kepada tatakelakuan pemandu, pemeriksaan dokumen dan keadaan teknikal kenderaan.

"Sebanyak 34 bas diperiksa dengan 14 daripadanya dikenakan tindakan membabitkan 25 kesalahan termasuk kesalahan tertinggi yang dikenal pasti, iaitu menggunakan telefon bimbit dan tidak menyelenggara kenderaan masing-masing.

"Mereka juga dikesan melakukan kesalahan membuat pusingan U di tempat tidak dibenarkan, alat pemadam api tamat tempoh, lesen kenderaan perkhidmatan awam (PSV) tamat tempoh, gagal mengemukakan jadual tambang, lesen pengendali dan jadual jalan selain menurunkan penumpang di tempat tidak dibenarkan dan gagal berhenti semasa ditahan penumpang," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersempena dengan Program Lelongan Awam Kenderaan Lucuthak Siri 1 di Ibu Pejabat JPJ Melaka di Bukit Katil, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Siti Zarina berkata operasi yang bermula pada 8.30 pagi dan berakhir 4 petang itu diketuai Ketua Bahagian Penguatkuasa JPJ Melaka Zulhelmi Zaidee bersama 39 anggota susulan beberapa siri kemalangan dan aduan membabitkan perkhidmatan bas henti-henti di negeri itu.

Katanya, pihaknya turut menggunakan kaedah penguatkuasaan melalui penyamaran anggota sebagai penumpang bagi mengesan secara terus tatakelakuan pemandu semasa bertugas.

"JPJ menyeru semua syarikat pengendali, pemilik dan pemandu kenderaan perkhidmatan awam untuk mematuhi peraturan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987, mengutamakan penyelenggaraan kenderaan serta mempamerkan sikap profesional sepanjang bertugas.

"JPJ juga komited menjalankan penguatkuasaan berterusan bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan kualiti perkhidmatan pengangkutan awam sentiasa berada pada tahap tertinggi," katanya.

Mengulas mengenai lelongan awam itu, Siti Zarina berkata JPJ Melaka mengutip hasil sebanyak RM62,100 menerusi penjualan 50 kenderaan pelbagai jenis yang telah mendapat perintah lucut hak daripada mahkamah.

"Kenderaan yang menerima bidaan tertinggi ialah lori rigid kargo am dengan nilai RM8,700 manakala bidaan terendah pula membabitkan sebuah motosikal yang dilelong pada harga RM67," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 678 kenderaan berada di tempat kenderaan sita JPJ Melaka selepas disita atas pelbagai kesalahan seperti lesen kenderaan motor (LKM) tamat tempoh, tiada LKM, memandu bawah umur, kesalahan teknikal termasuk gangguan enjin dan casis serta tiada perlindungan insurans.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan