BUKIT MERTAJAM, 17 Jun (Bernama) -- Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) hari ini melancarkan Tabung Wakaf Pendidikan Pulau Pinang bagi memperkasakan pembangunan pendidikan negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata tabung diuruskan Wakaf MAINPP itu antara lain bertujuan menyediakan prasarana selesa, menyokong keperluan pendidikan digital dan memperkukuh pembangunan sahsiah pelajar.
Sumbangan dana tabung itu juga dapat membantu pelajar berpotensi daripada keluarga kurang berkemampuan melanjutkan pengajian di pusat keilmuan yang berdaya saing bagi manfaat penerima bantuan tersebut secara berterusan.
“Sekiranya banyak sumbangan diterima, maka Jabatan Pendidikan negeri boleh membina infrastruktur dan fasiliti berkaitan hal ehwal pendidikan menggunakan dana itu.
“Terdapat beberapa komponen penting dalam tabung ini, antaranya wakaf ilmu dalam konteks pendidikan seperti pembelian buku dan kemudahan pusat sumber,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran tabung itu pada Karnival Islami Masyarakat MADANI di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Penanti di sini, hari ini.
Mohamad yang juga Yang Dipertua MAINPP menggalakkan warga pendidik menyumbang ke tabung itu secara terus melalui potongan debit menerusi bank atau kod respons pantas (QR) disediakan wakaf MAINPP selain turut mengalu-alukan sumbangan individu.
Berhubung Karnival Islami Masyarakat MADANI Pulau Pinang 2025, Mohamad berkata siri kedua karnival itu diadakan sempena Jelajah Pembangunan Agama Islam (APAI2030) negeri yang memfokuskan tema pembangunan sosioekonomi melalui instrumen wakaf.
“Pembangunan sosioekonomi ummah melalui wakaf penting untuk memastikan umat Islam di Pulau Pinang bergerak seiring dengan kepesatan pembangunan negeri,” katanya.
Beliau berkata siri jelajah itu bukan sahaja melibatkan penganjuran di masjid daerah tetapi juga sekolah terpilih di setiap daerah, dengan siri pertama karnival berlangsung di Masjid Abdullah Fahim, Kepala Batas pada 17 Mei lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial