Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sektor Edutourism Tunjuk Perkembangan Positif, Tarik Minat Institusi Pendidikan Serantau

19/06/2025 09:41 AM

LANGKAWI, 18 Jun (Bernama) -- Sektor pendidikan pelancongan atau edutourism di negara ini menunjukkan perkembangan positif apabila terdapat institusi pendidikan tinggi khususnya di rantau ASEAN menunjukkan minat terhadap pakej pembelajaran berkonsepkan pelancongan kepada pelajar.

Pengarah Langkawi Tourism Academy@Kolej Komuniti Langkawi (LTA) Rohana Sahak berkata ia susulan inisiatif pelbagai pihak yang giat mempromosikan pakej pembelajaran berkonsepkan pengalaman sebenar kepada pelajar tempatan dan antarabangsa.

"LTA menawarkan program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang hospitaliti khususnya bidang perhotelan dan pelancongan yang mendapat sambutan pelajar di rantau ini.

"Kami telah menerima sekumpulan 15 pelajar daripada Songkhla Rajabhat University, Thailand yang telah berjaya menamatkan program Lets Go Langkawi Edutourism Geopark Odyssey yang berkonsepkan edutourism di LTA. 

"Hasil daripada program ini dilihat sangat memberangsangkan dan berharap akan dapat mengadakan kerjasama lebih jauh selepas ini khususnya dengan institusi di rantau ASEAN," katanya selepas Program Bridging ASEAN Higher Education Session di MAHA Tower di sini, hari ini.

Menurut Rohana pakej edutourism berupaya memberi pendedahan kepada pelajar luar negara mengenai pertukaran budaya, bahasa dan pengalaman komuniti dalam bidang hospitaliti.

"Program ini juga dijayakan dengan kerjasama pihak pemain industri pelancongan dan untuk program bersama Rajabhat ini kami mendapat kerjasama Dreamz Travel Sdn Bhd," katanya.

Menurutnya program edutourism adalah di bawah seliaan Unit Pengantarabangsaan Bahagian Koordinasi TVET Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti bagi memperkasakan bidang hospitaliti di rantau ini.

Katanya lagi edutourism kini merupakan satu daripada segmen penting dalam merancakkan pelancongan berkualiti serta menyokong aspirasi Malaysia sebagai hab pendidikan serantau.

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Education Malaysia Global Services (EMGS) Novie Tajuddin berkata sebagai pemudah cara untuk pelajar antarabangsa, pihaknya menyediakan Pusat Ketibaan Pelajar Antarabangsa (ISAC) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2 sebelum mereka melepasi kaunter Jabatan Imigresen.

"ISAC merupakan inisiatif yang pertama di dunia khusus untuk pelajar antarabangsa yang datang ke negara ini dan staf di kaunter kami bertugas 24/7.

"Selain itu, kolaborasi institusi pendidikan tinggi dengan luar negara (transnational education) juga memberi ruang dan pilihan kepada pelajar luar untuk datang ke sini terlebih dahulu sebelum meneruskan pengajian di negara lain," katanya sambil menambah ketika ini terdapat 137,000 pelajar antarabangsa di negara ini.

EMGS merupakan agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) yang bertanggungjawab terutamanya bagi memudahkan pemprosesan visa untuk semua pelajar antarabangsa dan mempromosikan Malaysia sebagai hab global bakat dan pengetahuan.

Beliau turut berkata sempena Kepengerusian ASEAN, beberapa inisiatif turut diperkenalkan khusus untuk pelajar antarabangsa dari negara ASEAN. 

“Antaranya Graduate Pass yang memberikan kemudahan visa kepada pelajar yang telah menamatkan pengajian mereka di Malaysia,” katanya. 

Selain itu, Novie berkata EMGS berhasrat untuk meningkatkan kerjasama serantau, khususnya dari negara ASEAN ke suatu tahap yang lebih tinggi melalui program mobiliti pelajar dan program pendanaan biasiswa.

Terdahulu pada majlis tersebut, Malaysia dan Republik Demokratik Timor-Leste turut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi memperkukuh kerjasama dalam bidang pendidikan tinggi, sempena Sidang Meja Bulat Menteri Pendidikan dan Pendidikan Tinggi ASEAN 2025 di sini.

MoU tersebut ditandangani Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Budaya Timor-Leste José Honório da Costa Pereira Jerónimo, yang memberi tumpuan kepada kolaborasi strategik dalam bidang pendidikan tinggi yang berpotensi membuka lebih banyak peluang bermanfaat kepada kedua-dua negara.

Antara bidang kerjasama dalam MoU itu termasuk TVET, sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik, teknologi pendidikan baharu serta pelaksanaan program latihan dan kursus bagi tenaga pengajar akademik.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan