Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Tipu 47 Jemaah Haji: Syarikat Tiada Lesen Sebagai Pjh

16/06/2025 10:16 PM

JASIN, 16 Jun (Bernama) -- Syarikat yang dikaitkan dengan isu penipuan membabitkan 47 jemaah haji baru-baru ini, disahkan tidak mempunyai lesen atau tauliah sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) yang dibenarkan menguruskan perjalanan haji. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata hasil semakan awal menunjukkan ejen terbabit bukan syarikat yang menerima tauliah sah daripada Lembaga Tabung Haji (TH) atau Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi. 

"Bukan daripada syarikat PJH dan kemungkinan besar ia ejen pelancongan. Ada kemungkinan juga mereka memasuki Jeddah untuk mengerjakan haji secara haram dengan menggunakan visa pelancongan atau dari negara lain.

“Jika ini yang berlaku, memang sukar untuk kita mengesan kesalahan berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan dan menyampaikan kelengkapan ibadat kepada masyarakat Islam di Kampung Orang Asli Bukit Seraya di sini hari ini. 

Mengulas lanjut, Mohd Na’m berkata kemungkinan kumpulan jemaah itu dibawa pergi ke tempat lain dulu melalui negara ketiga yang dipercayai Turkiye sebelum memasuki Arab Saudi. 

 “Dalam kes ini, saya tengok dari Jeddah mereka dibawa keluar melalui Turkiye, bukan terus ke sini (Malaysia). Jadi dari Turkiye, mereka memasuki Jeddah dan kita tidak boleh halang kalau alasannya untuk bercuti atau sebagainya," katanya. 

Beliau berkata pihaknya sudah melakukan pelbagai cara untuk mengekang kes penipuan ini termasuk mengeluarkan tidak kurang daripada 10 kenyataan media setiap kali tiba musim haji bagi mengingatkan para jemaah berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa penipuan pihak tidak bertanggungjawab. 

Antara usaha itu, melalui pasukan khas bersama TH, Jabatan Imigresen Malaysia dan Polis Diraja Malaysia, di samping memperketat lagi kawal selia terhadap semua ejen perjalanan haji termasuk mengenakan tindakan tegas terhadap mereka yang tidak berlesen. 

Media sebelum ini melaporkan sebanyak 47 jemaah Malaysia didakwa menjadi mangsa penipuan ejen haji tempatan yang dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan