KUALA LUMPUR, 16 Jun (Bernama) -- Skuad kebangsaan memilih jalan sukar untuk mengesahkan slot ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara Persekutuan Hoki Dunia (FIH) 2025 apabila tewas 3-4 kepada New Zealand di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Turun dengan misi mencari kemenangan pertama pada aksi Kumpulan B itu, Malaysia yang menghuni ranking ke-13 dunia mempamerkan aksi meyakinkan pada separuh masa pertama dengan memperoleh jaringan pembukaan hasil gol padang Akhimullah Anuar Esook pada minit ke-18.
Malaysia tampil lebih garang apabila berjaya menjarakkan kedudukan menerusi penalti strok Fitri Saari pada minit ke-38, diikuti jaringan padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal selang seminit kemudian.
Keadaan itu bagaimanapun tidak bertahan lama apabila Malaysia mulai leka dan membiarkan New Zealand menambah dua jaringan masing-masing satu menerusi Fin Ward (44’) dan Simon Yorston (45’).
Pada separuh masa kedua, Sean Findlay dan Ward tenang menambah jaringan masing-masing pada minit ke-46 dan ke-52 untuk meletakkan New Zealand di hadapan, sekali gus menghampakan Speedy Tigers.
Keputusan dilakar anak buah Sarjit Singh itu menyebabkan Malaysia kekal mengumpul satu mata, menghuni kedudukan ketiga kumpulan dan berdepan misi wajib menang ke atas pasukan tercorot iaitu Jepun dengan jumlah gol besar pada aksi pelengkap Kumpulan B, Rabu ini.
Selain itu, Malaysia juga berharap Pakistan (empat mata) yang berada di kedudukan kedua kumpulan tewas dengan jaringan besar kepada pendahulu New Zealand (enam mata).
Dua pasukan teratas setiap kumpulan layak ke separuh akhir, manakala dua pasukan tercorot beraksi pada perlawanan penentuan tempat kelima hingga kelapan.
Sementara itu, Sarjit ketika ditemui selepas perlawanan ternyata kurang senang dengan keputusan dilakar, yang turut didorong oleh layangan kad oleh pengadil sehingga mengganggu rentak perlawanan Malaysia.
“Kecewa dan mengecewakan. Sudah tentu apabila anda menguasai sepenuhnya perlawanan, tiba-tiba anda kalah 3-4. Sebelum itu, mendahului 3-0 kerana kami mengawal penuh permainan. Disebabkan oleh layangan kad, kami memudahkan mereka untuk menang mudah. Itu sahaja yang boleh saya katakan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial