Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Fadhlina Selar Pihak Politikkan Isu Pergaduhan Murid Di Terengganu

16/06/2025 07:17 PM

PUTRAJAYA, 16 Jun (Bernama) -- Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek hari ini menyelar sekeras-kerasnya tindakan segelintir pihak yang mempolitikkan insiden pergaduhan melibatkan dua murid di sebuah sekolah di Terengganu baru-baru ini.

Beliau turut menafikan dakwaan tidak berasas yang mengaitkan ibu kepada seorang murid terlibat dengannya.

"Fitnah mengaitkan seorang daripada ibu murid terlibat dengan saya adalah tidak bertanggungjawab dan berniat jahat. Saya tidak pernah mengenali individu terbabit," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) melalui Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) telah mengambil tindakan terhadap kes ini mengikut prosedur standard operasi (SOP) Buli dan Salah Laku yang sedang berkuat kuasa. 

Sebagai langkah susulan, beliau turut mengarahkan Unit Integriti kementerian untuk menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden berkenaan.

"Saya mengikuti rapat perkembangan isu ini dan mahu ia diselesaikan segera. KPM tidak berkompromi dengan buli dan perbuatan salah laku lain. Tindakan tegas mesti diambil terhadap sesiapa sahaja yang bersalah," katanya.

Fadhlina turut menegaskan komitmen kementerian untuk memastikan semua institusi pendidikan kekal sebagai persekitaran yang selamat demi kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan