Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ASEAN Law Forum 2025 Ogos Ini Perkukuh Kerjasama Undang-undang, Integrasi Ekonomi Serantau

16/06/2025 03:15 PM

BANGI, 16 Jun (Bernama) -- Malaysia bakal menganjurkan ASEAN Law Forum 2025 yang dijadual berlangsung dari 19 hingga 21 Ogos depan sempena Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata forum itu merupakan antara siri mesyuarat dan persidangan penting dalam sektor undang-undang peringkat ASEAN.

“Forum ini memberi peluang kepada negara-negara ASEAN untuk menyatukan usaha ke arah pembangunan institusi dan mekanisme perundangan yang kukuh serta berdaya tahan, terutama dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang tidak menentu,” katanya.

Menurut Azalina, Malaysia sebagai Pengerusi akan menerajui perbincangan dan merangka strategi berkesan bagi memajukan bidang timbang tara dan pengantaraan komersial antarabangsa, sekali gus menjadikan rantau ASEAN sebagai hab pilihan bagi Penyelesaian Pertikaian Alternatif (ADR) serta pengukuhan mekanisme insolvensi rentas sempadan.

Beliau berkata demikian semasa Perhimpunan Bulanan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dan majlis pelancaran penjenamaan semula Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) sebagai Akademi Perundangan Negara (APN) di sini, hari ini.

Beliau berkata negara-negara yang dilawatinya baru-baru ini, termasuk Jepun, Uzbekistan dan beberapa rakan dialog ASEAN yang lain, menyatakan minat serta keterujaan tinggi untuk menyertai forum berkenaan.

Azalina berkata proses mendapatkan keadilan tidak boleh dilakukan secara tergesa-gesa kerana ia menuntut ketelitian dan kesaksamaan dalam pelaksanaannya.

“Meskipun kerajaan telah menambah bilangan mahkamah dan melantik lebih ramai pegawai seperti Ketua Pendaftar, sistem sedia ada tetap berdepan kekangan sumber dan masa kerana keadilan adalah proses yang mengambil masa,” katanya.

"Proses untuk memperoleh keadilan selalunya mengambil masa yang panjang, namun dengan adanya platform ADR, keadilan dapat ditafsirkan dalam bentuk yang lebih mudah dicapai dan dilaksanakan," katanya.

Sementara itu, Azalina berkata Kabinet telah bersetuju dengan penjenamaan semula APN pada 9 April lepas, yang mencerminkan penubuhan dua institusi latihan berasingan dalam bidang kehakiman dan perundangan, iaitu Akademi Kehakiman Malaysia (AKM) dan Akademi Perundangan Negara (APN), masing-masing dengan fungsi yang berbeza.

Seiring usaha Kerajaan MADANI melaksanakan agenda reformasi undang-undang dan institusi, Azalina berkata APN memainkan peranan penting dalam melatih pegawai kerajaan berkaitan pelaksanaan undang-undang sedia ada dan yang baharu dipinda agar pelaksanaannya dapat memberi kesan yang diharapkan.

“Cabaran dalam memastikan undang-undang negara selari dengan keperluan semasa bukanlah mudah, kerana ia memerlukan penelitian terhadap pelbagai isu dan kajian menyeluruh, terutama dengan kemajuan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang pesat berkembang.

“Oleh itu, apabila sesuatu undang-undang telah diluluskan, ia perlu dipromosikan dan dilaksanakan segera. Lebih penting lagi, para pegawai dalam institusi perundangan perlu dilengkapkan dengan kemahiran untuk melaksanakannya secara berkesan,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan