Oleh Mohd Ashraf Syafiq Mazlan
PUTRAJAYA, 15 Jun (Bernama) -- Agensi penguat kuasa perlu menjalinkan kerjasama lebih erat dengan media bagi memastikan aspek penyaluran maklumat berkaitan perkhidmatan, dasar, serta program kepada masyarakat dapat dilakukan secara tepat dan berkesan.
Bekas Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata langkah itu perlu kerana media adalah rakan strategik agensi penguat kuasa yang memainkan peranan menyampaikan mesej lebih jelas terhadap usaha dan tindakan yang telah dilaksanakan kepada masyarakat.
”Media dan agensi penguat kuasa memerlukan satu sama lain. Media amat penting dalam memastikan setiap mesej dapat disampaikan secara menyeluruh, antaranya dari sudut penguatkuasaan atau penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
“Sebab itu saya sangat rapat dengan media dengan tujuan menguar-uarkan tindakan kita bagi mendapatkan sokongan orang ramai supaya mereka juga akan bersama-sama agensi penguat kuasa,” katanya kepada Bernama sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.
Bekas Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) itu berkata agensi seperti Jabatan Imigresen, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta NFCC juga perlu mencari kaedah baharu untuk bergandingan dengan media supaya setiap maklumat disalurkan dengan ringkas dan berkesan.
“Saya percaya media kita profesional dan agensi juga kena bantu memberi maklumat dengan jelas, cepat dan relevan. Rakyat sekarang tidak mahu baca panjang-panjang. Mereka mahu tahu isu dengan secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, Mustafar berkata media di negara ini telah diberikan kebebasan membuat pelaporan, namun setiap pengamal media perlu mempunyai etika dan bertanggungjawab dengan menyalurkan berita secara berfakta serta tidak mengelirukan.
“Media perlu bebas, tetapi mereka juga ada tanggungjawab untuk pastikan fakta betul. Jangan sampai berita itu disalahertikan dan akhirnya mencetuskan persepsi negatif terhadap negara ataupun individu,” katanya.
Pengerusi Rapid Bus Sdn. Bhd itu turut mengingatkan masyarakat supaya lebih bijak menilai dan menapis sumber berita yang diterima di media sosial kerana penyebaran maklumat berlaku dengan pantas, namun kadangkala tidak tepat.
Bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, kemuncak sambutan HAWANA 2025 berlangsung semalam di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) dengan perasmian oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan dihadiri kira-kira 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara.
Sambutan HAWANA 2025 akan diteruskan dengan pelbagai pengisian bermakna, antaranya acara sukan media yang menampilkan elemen permainan tradisional, serta siri jelajah ke politeknik premier di Selangor, Perak dan Johor bagi menyemai minat generasi muda terhadap dunia kewartawanan dan media.
HAWANA yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dengan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai agensi pelaksana bertujuan meraikan peranan dan sumbangan pengamal media dalam pembangunan negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial