KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Anugerah Khas HAWANA 2025 yang diberikan kepada Allahyarham Rozaid Abdul Rahman, merupakan penghormatan setulus hati terhadap jasa, dedikasi dan legasi beliau kepada dunia kewartawanan tempatan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan bekas Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) itu, seorang pejuang tulen kebebasan media yang berprinsip dan bertanggungjawab.
“Dunia kewartawanan tanah air terus mengenang susuk unggul yang penuh wibawa, Allahyarham Rozaid Rahman.
“Bagi saya, beliau bukan sekadar wartawan. Beliau adalah sahabat sejati, pemikir yang tajam dan pejuang tulen kebebasan media yang berprinsip dan bertanggungjawab,” katanya menerusi catatan di Facebook.
Anwar berharap agar semangat dan nilai perjuangan Allahyarham terus menjadi obor yang menerangi jalan para pengamal media muda dalam menegakkan kebenaran, menjunjung etika dan memperkukuh demokrasi.
Pada majlis kemuncak HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini, Anwar menyampaikan Anugerah Khas HAWANA 2025 itu kepada anak Allahyarham, Roz Ariffin dengan disaksikan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil serta 1,000 tetamu terdiri daripada pengamal media tempatan dan antarabangsa.
Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, serta Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj yang juga Pengarah Projek HAWANA 2025.
Allahyarham Rozaid, yang meninggal dunia pada 18 Ogos 2024 akibat serangan jantung, dikenang sebagai tokoh berpengaruh dalam dunia kewartawanan negara dengan pengalaman melebihi empat dekad dalam industri media.
Rozaid dilantik sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di PMO pada 23 Mei 2023 yang berperanan dalam pengurusan komunikasi kerajaan dan strategi media.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial