KOTA BELUD, 14 Jun (Bernama) -- Perkhidmatan pengisian bahan api mudah alih melalui kenderaan minyak bergerak (ROVR) dijadualkan mula beroperasi di Kuala Abai di sini pada 21 Jun ini, dalam usaha memudahkan akses bekalan bahan api untuk komuniti luar bandar.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata perkhidmatan yang membekalkan bahan api RON95 itu adalah hasil kerjasama kementeriannya dan Petronas Dagangan Berhad bagi memenuhi permintaan penduduk kampung, khususnya para nelayan.
“Melalui kewujudan ROVR ini, penduduk dapat menikmati kemudahan pengisian bahan api yang lebih dekat, mudah dan selamat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah di Tempasuk di sini hari ini.
Kuala Abai di sini adalah sebuah kawasan di pinggir laut yang terkenal dengan aktiviti nelayan dan ekonomi laut, terletak kira-kira 80 kilometer arah Timur Laut dari Kota Kinabalu.
Armizan berkata ROVR yang akan dikendalikan oleh Persatuan Nelayan Kawasan Kota Belud itu dijangka memberi manfaat kepada penduduk di Kuala Abai selain kampung berdekatan antaranya Kampung Buah Pandai, Kampung Tanjung Batu dan Kampung Kulambai.
“Dengan kehadiran ROVR yang membekalkan bahan api terus ke kawasan nelayan, mereka tidak lagi perlu melakukan perjalanan jauh ke stesen minyak, sekali gus mengurangkan kos operasi harian,” katanya yang juga Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah.
Armizan berkata setakat ini terdapat lapan perkhidmatan ROVR membekalkan petrol RON95 di seluruh negara dengan enam daripadanya beroperasi di Sarawak, dan dua di Sabah iaitu di Beaufort dan kini di Kuala Abai di sini.
Beliau berkata terdapat satu lagi ROVR iaitu di Kimanis, Papar yang membekalkan petrol RON97, namun ia bertujuan memenuhi permintaan penduduk dan kenderaan asing terutama pengguna dari Brunei yang menggunakan laluan Brunei-Kota Kinabalu.
ROVR iaitu inisiatif Petronas Dagangan Berhad sejak tahun 2018 telah mengagihkan lebih 250 juta liter bahan api sejak ia dilancarkan.
Armizan berkata keberkesanan perkhidmatan itu terbukti dalam menyokong mobiliti harian serta semasa situasi kecemasan negara seperti pandemik Covid-19 dan bencana banjir.
“KPDN akan terus memastikan bekalan petrol RON95 pada harga runcit terkawal sampai ke tangan rakyat, tanpa mengira lokasi geografi,” katanya.
Beliau menambah usaha ini bukan sahaja menjamin keadilan tenaga tetapi juga mengurangkan beban kos sara hidup penduduk luar bandar serta menyokong pertumbuhan sosioekonomi setempat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial