KUALA LUMPUR, 14 Jun (Bernama) -- Penerima Anugerah HAWANA 2025 Datuk Yong Soo Heong mendedikasikan pengiktirafan diterimanya kepada semua yang terlibat dalam bidang kewartawanan.
Yong yang juga Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) berkata anugerah itu satu penghormatan kolektif terhadap semua pihak yang telah membimbing dan menyokong sepanjang penglibatannya dalam industri media tanah air.
Beliau yang pernah berkhidmat di Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) sebagai Ketua Pengarang dan Pengurus Besar turut meluahkan harapan supaya agensi berita rasmi negara itu dapat mengekalkan standard tertinggi supaya menjadi institusi dihormati bukan sahaja dalam negara, tetapi di peringkat global.
"Bernama perlu menjadi sebuah pertubuhan berita yang dihormati dan petugas-petugasnya perlu lebih dinamik kerana petugas menjadi tulang belakang organisasi itu.
"Petugas perlu bekerja lebih keras mengangkat nama Bernama lebih tinggi, perlu selalu buat berita baik, sahih dan penceritaan menarik itu sangat penting. Kita kena belajar bagaimana nak buat penceritaan yang menarik untuk memikat pembaca, penonton atau pendengar," katanya selepas menerima Anugerah HAWANA 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.
Anugerah HAWANA 2025 disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada majlis kemuncak sambutan dan disaksikan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin dan Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj yang juga Pengarah Projek HAWANA 2025 serta wakil-wakil media.
Mengimbau kembali kenangan sepanjang kariernya, Yong yang juga wartawan meja ekonomi Bernama pada 1991 pernah dipilih secara khas untuk menulis artikel bagi membetulkan keadaan pasaran saham Malaysia yang panas ketika itu.
Pada 1998, Yong tampil dalam temu bual secara siaran langsung di Radio Televisyen Malaysia (RTM) mengenai kawalan pertukaran mata wang ke atas Ringgit Malaysia (RM).
Mengulas mengenai peruntukan RM30 juta diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk pelaksanaan transformasi digital, beliau berkata ia boleh dimanfaatkan untuk agensi media meningkatkan kemahiran petugas masing-masing dalam mengharungi cabaran semasa.
"Ini satu suntikan yang baik dan mampu meningkatkan kemampuan agensi media tempatan menerusi latihan atau peralatan lebih canggih supaya penyampaian itu lebih baik sekali gus mampu meningkatkan kemampuan operasi mereka," katanya.
Anugerah HAWANA bertujuan mengiktiraf dan sebagai penghormatan kepada wartawan profesional, individu atau organisasi yang memberi sumbangan besar bukan sahaja dalam bidang kewartawanan tetapi dalam membentuk minda rakyat menerusi karya-karya dihasilkan.
Anugerah sulung HAWANA diberi kepada Bapa Kemerdekaan dan Bapa Malaysia Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj pada 2018, diikuti Kumpulan Karangkraf (Karangkraf) (2022), Datuk Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohd Nor Khalid (2023) dan James Alexander Ritchie atau lebih dikenali sebagai James Ritchie (2024).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial