KUALA LUMPUR, 13 Jun (Bernama) -- Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) melihat kejayaan Tabung Kasih@HAWANA sebagai model kebajikan yang wajar dicontohi oleh penggiat industri seni bagi menjaga kebajikan artis dan penggiat seni tanah air.
Presiden Seniman Rozaidi Abdul Jamil atau lebih dikenali sebagai Zed Zaidi berkata inisiatif inklusif seperti tabung tersebut dilihat dapat memberi manfaat berterusan kepada pengamal media.
“Kejayaan menyediakan tabung untuk menjaga kebajikan pengamal media memberi inspirasi kepada Seniman untuk mewujudkan tabung yang sama untuk anak-anak seni di negara ini.
“Setakat ini, kita belum ada tabung kebajikan sebegini namun, di bawah Gabungan Perfileman Malaysia (Gafema) kita sedang merancang untuk mewujudkan tabung khas seperti Tabung Kasih@HAWANA bagi menjaga kebajikan penggiat seni,” katanya ketika ditemui di Karnival HAWANA 2025 di ruang legar Sunway Putra Mall di sini, hari ini.
Selain itu, Zed Zaidi melihat potensi kerjasama antara Seniman dan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) menerusi platform MyCheck Malaysia (unit semakan fakta Bernama) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam memberi didikan kepada penggiat seni tentang inisiatif membanteras maklumat palsu.
“Ini kali pertama saya mengetahui mengenai MyCheck Malaysia, dan saya lihat ia berpotensi menjadi antara platform rakan strategik untuk menganjurkan program khusus dengan menggunakan selebriti sebagai ejen penyampai kesedaran kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata selain selebriti, Seniman juga turut terdiri daripada pempengaruh yang masih tiada garis panduan jelas dalam menyampaikan sesuatu maklumat.
“Kadangkala apabila mereka menyampaikan sesuatu, ia mungkin berasaskan fakta, tetapi diubah sehingga menjadi auta dan akhirnya dianggap sebagai fakta oleh masyarakat. Ini boleh menyumbang kepada penyebaran berita palsu dan maklumat yang tidak tepat.”
“Justeru, kita boleh gabungkan program-program bersesuaian, termasuk bengkel atau sesi kesedaran melibatkan media untuk mendidik masyarakat tentang kepentingan menyemak fakta,” katanya.
Karnival HAWANA 2025 berlangsung selama tiga hari mulai hari ini dan ia merupakan sebahagian daripada sambutan HAWANA tahun ini yang mengangkat tema “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”.
Kemuncak sambutan HAWANA 2025 bakal dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) esok.
Lebih 1,000 pengamal media, wakil-wakil persatuan wartawan tempatan dan media negara anggota ASEAN dijemput sekali gus menghimpunkan kumpulan media profesional serta pakar industri sambil bertukar-tukar idea selain menjalinkan hubungan strategik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial