JERTIH, 11 Jun (Bernama) -- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyalurkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM49,500 kepada waris dan penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berdekatan Tasik Banding di Gerik, Perak, Isnin lepas.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Prof Madya Datuk Dr Ahmad Azrin Adnan berkata waris 15 pelajar yang terkorban masing-masing akan menerima bantuan RM1,500, manakala 27 pelajar yang cedera masing-masing akan menerima RM1,000.
“Bantuan ini diharapkan dapat meringankan beban mereka kerana sebahagian besar pelajar yang terlibat adalah daripada keluarga yang menerima bantuan fakir dan miskin MAIDAM.
“Selain itu, kunjungan kita (pihak MAIDAM) pada hari ini juga adalah untuk mendapatkan maklumat berkaitan sebarang keperluan bantuan tambahan yang waris perlukan,” katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada Maslan Abdul Rahman, 58, bapa kepada Allahyarham Nor Ayuni, 21, yang maut dalam kemalangan berkenaan, di kediamannya di Felda Tenang di sini hari ini.
Ahmad Azrin berkata sebanyak 13 mangsa yang meninggal dunia adalah dalam kalangan keluarga menerima bantuan di bawah asnaf fakir dan miskin MAIDAM.
“Daripada 27 pelajar yang cedera pula, sebanyak 13 adalah daripada keluarga penerima bantuan fakir dan miskin MAIDAM, manakala 16 pelajar yang terlibat dalam kemalangan itu merupakan penerima Bantuan Awal Pengajian IPT MAIDAM,” katanya.
Pada Isnin lepas, 15 penuntut UPSI maut apabila bas sewa khas yang membawa mereka dari Jertih ke kampus utama Tanjung Malim, Perak terbalik dalam kemalangan yang turut melibatkan sebuah kenderaan pelbagai guna Perodua Alza di JRTB.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Perodua Alza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial