KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Sebuah restoran berkonsep baharu, yang menawarkan pengalaman menjamu selera seperti di rumah sendiri dengan suasana selesa dan mesra kejiranan, dibuka secara rasmi di kawasan hijau Bukit Tunku di sini.
Restoran fennel & co. yang beroperasi sejak sebulan lepas, bukan sahaja sebagai tempat makan, malah menjadi lokasi untuk berkongsi cerita, gelak ketawa sambil menikmati hidangan serta minuman hangat bagi mengeratkan hubungan antara satu sama lain.
"Kami menyediakan lebih daripada sekadar ruang untuk makan dan kami membina ruang untuk rasa dimiliki. Dari pagi yang tenang ditemani secawan kopi, petang yang dipenuhi sesi perbincangan dan gelak ketawa, hinggalah malam yang santai bersama insan tersayang.
"Restoran ini juga dengan bangganya mengamalkan prinsip halal - bukan sekadar kewajipan, tetapi sebagai tanda penghormatan. Setiap ramuan dipilih dengan penuh teliti dan setiap hidangan disediakan dengan penuh kasih sayang seolah-olah dimasak di dapur rumah yang penuh kenangan," menurut fennel & co. dalam kenyataan hari ini.
Antara menu istimewa termasuklah ciptaan khas fennel & co., Biiig Breakfast – dengan pilhan antara sosej ayam Sepanyol atau daging; Croque Monsieur yang menggunakan hirisan ayam, keju dan sos mornay diapit dengan dua keping roti brioche yang lembut; serta Buttermilk, oat-crumbed, crispy fried chicken yang dihidang bersama sos istimewa buatan cef yang penuh perisa seperti gochujang, habanero dan chili lime.
Bagi penggemar cita rasa tempatan, Spageti Tomyam Udang menjanjikan pengalaman rasa yang kaya dengan rempah, menurut kenyataan itu.
Sementara itu, menu minuman pula, fennel & co. memaklumkan pelanggan boleh menikmati pelbagai pilihan berasaskan matcha termasuk matcha latte klasik dan matcha blossom dengan krim strawberi.
"Bagi penggemar kopi, mereka boleh memilih dirty matcha yang menggabungkan matcha dan espreso untuk tambahan kafein.
"Sama ada pelanggan datang bersendirian untuk menikmati sarapan atau keluarga yang berkumpul semula untuk makan malam, fennel & co. mengalu-alukan semua orang seadanya - kerana di sini setiap kisah itu bermakna dan sentiasa ada ruang untuk seorang lagi di meja ini," menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial