Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Lebih 13,000 Titik Akses Wi-Fi Siap Dipasang Di Kampus Universiti Awam Seluruh Negara - Fahmi

10/06/2025 07:23 PM

SINTOK, 10 Jun (Bernama) -- Lebih 13,000 titik akses Wi-Fi telah siap dipasang di beberapa kampus universiti awam di seluruh negara setakat ini dalam usaha meningkatkan capaian Internet di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau berkata fasa pertama pemasangan kemudahan itu di universiti-universiti awam sudah selesai manakala fasa kedua sedang berjalan dan dijangka selesai dalam tempoh sehingga enam minggu lagi.

“Setakat ini di seluruh negara daripada 32,000 Wi-Fi yang hendak dipasang di semua universiti awam, lebih kurang 13,000 ke 14,000 telah dipasang dan kita jangka untuk fasa kedua akan selesai dalam tempoh lebih kurang lima atau enam minggu dari sekarang.

“Setelah kita selesai fasa kedua, ada beberapa perkara perlu dibincangkan dengan pihak universiti, selain daripada kita meneliti dalam fasa pertama dan kedua sekiranya perlu ada penambahbaikan dalam kampus masing-masing, maka itu akan disertakan dalam fasa ketiga,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Fahmi menyampaikan ucaptama pada Forum Suara, Siber dan Sempadan: Merungkai Dinamika Kebebasan Media dalam Era Digital yang diadakan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Beliau berkata fasa ketiga pelaksanaan pemasangan Wi-Fi di universiti awam pula dijangka dimulakan dalam tahun ini juga selepas selesai fasa kedua.

Fahmi berkata kementerian akan mengadakan perbincangan dengan universiti terbabit bagi pengesahan lokasi untuk pemasangan Wi-Fi sebelum mengeluarkan tender.

“Jadi insya-Allah kita juga akan pastikan masalah Wi-Fi di UUM akan diberi fokus dalam fasa ketiga pelaksanaan pemasangan Wi-Fi di universiti-universiti awam dan saya telah mendapat pengesahan daripada pihak MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) bahawa UUM antara tempat utama,” katanya.

Beliau berkata selain universiti awam, kementerian juga melaksanakan program sama di politeknik dan kolej komuniti.

Mengulas mengenai forum tersebut, Fahmi berkata ia merupakan satu platform dalam memberi penegasan kepentingan keseimbangan antara kebebasan media, hak bersuara dan tanggungjawab kepada masyarakat.

“Harapan saya dengan program seperti ini kita akan dapat tingkatkan perbincangan terutama di universiti-universiti awam.

“Dengan cara itu, dalam kalangan pelajar mereka akan terdedah terutama dengan pemain industri media dan mereka boleh mendengar sendiri realiti apa yang sedang berlaku dalam perubahan yang sangat rancak dengan kehadiran kecerdasan buatan, media sosial dan cabaran-cabaran lain bagi media arus perdana,” katanya.

Turut hadir pada majlis itu Presiden Institut Akhbar Malaysia (MPI) Datuk Yong Soo Heong.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan