SINTOK, 10 Jun (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil meminta pencipta kandungan dan pengguna media sosial agar berhati-hati dan menjaga adab dalam berkongsi atau menghasilkan kandungan berkaitan kemalangan tragik yang mengorbankan nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak, awal pagi semalam.
Beliau berkata ini bagi menjaga privasi dan perasaan ahli keluarga atau waris kepada mangsa yang terlibat.
“Saya minta supaya sebaik mungkin kita berikan ruang dan privasi kepada keluarga mangsa. Saya ada terlihat satu kandungan yang dihasilkan…Individu yang membuat kandungan di lokasi dan di dalam bas itu.
“Walaupun mesejnya adalah mesej takziah, tapi bagi saya itu satu kawasan kemalangan yang dalam siasatan pihak berkuasa, maka berpada-padalah dalam menghasilkan kandungan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Terdahulu beliau menyampaikan ucaptama pada Forum Suara, Siber dan Sempadan: Merungkai Dinamika Kebebasan Media dalam Era Digital di Universiti Utara Malaysia, di sini.
Fahmi berkata insiden terbabit dijangka menjadi antara perkara yang akan dibincangkan pada mesyuarat jemaah menteri esok.
“Dalam mesyuarat jemaah menteri, perkara-perkara atau insiden seperti ini akan dibincangkan, tapi sudah pasti kita akan nantikan laporan daripada pihak berwajib, dan berdasarkan laporan itu kita boleh tahu apakah tindakan lanjut sama ada dari segi penguatkuasaan yang perlu diambil.
“Apa pun kita nantikan mesyuarat untuk maklumat terkini, jadi Insya-Allah selepas mesyuarat jemaah menteri akan ada sidang media yang akan saya uruskan,” katanya.
Dalam kejadian tersebut, 15 penuntut UPSI maut selepas bas yang disewa khas dari Jertih, Terengganu ke kampus mereka di Tanjung Malim, Perak terbalik dalam kemalangan yang turut melibatkan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat, berhampiran Tasik Banding, Gerik.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial