KUALA LUMPUR, 10 Jun (Bernama) -- Kemalangan tragis yang meragut 15 nyawa di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), berdekatan Tasik Banding, Gerik awal pagi semalam memberi ‘isyarat jelas’ mengenai kelompongan penguatkuasaan undang-undang dan sikap sambil lewa operator pengangkutan awam mengenai keselamatan penumpang.
Dalam tragedi itu, ada mangsa yang terdiri daripada penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dilaporkan tercampak keluar, sekali gus menjadi peringatan tegas bahawa keselamatan nyawa tidak boleh dikompromi.
Biarpun siasatan menyeluruh sedang dilakukan menerusi pasukan petugas khas yang baru ditubuhkan, pakar juga melihat mengenai kegagalan penguatkuasaan dalam melaksanakan undang-undang sedia ada bagi meningkatkan keselamatan penumpang.
Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata biarpun pemasangan dan pemakaian tali pinggang keselamatan di semua kerusi penumpang bas ekspres baharu dan bas persiaran telah diwajibkan sejak 2020, namun peraturan itu sekadar di atas kertas.
Beliau berkata masih banyak lagi bas yang tidak melengkapkan pengangkutan mereka dengan menyediakan tali pinggang keselamatan di setiap kerusi penumpang.
“Apabila berlaku sesuatu kemalangan, maka sudah tentu penumpang tercampak keluar dari bas akibat tidak memakai tali pinggang. Ini jelas menunjukkan sikap sambil lewa operator pengangkutan awam yang seakan mengabaikan keselamatan penumpang.
“Jadi, saya melihat isu ini melibatkan penguatkuasaan undang-undang yang gagal dikuatkuasakan. Ini sangat penting untuk dilaksana dan dikuatkuasakan bagi mengurangkan impak kadar kemalangan maut,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, Presiden Persatuan Keselamatan Jalan Raya dan Pengangkutan Malaysia Md Hairolazaman Muhamed Nor berkata pihaknya turut menekankan pemantauan pemasangan tali pinggang keselamatan dalam setiap bas.
“Tindakan ini dapat menggalakkan lebih ramai pengusaha bas mengikuti peraturan ditetapkan oleh pihak Latihan Keselamatan Kod Amalan Industri (ICOP) dan Jabatan Pengangkutan Jalan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Md Hairolazaman berkata pemasangan Sistem Kedudukan Sejagat dan kamera dalam bas dapat memantau penumpang supaya sentiasa memakai tali pinggang keledar sepanjang perjalanan.
Berkongsi pandangan sama, Ketua Pusat Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Law Teik Hua berkata pengusaha bas tidak boleh lagi mengambil enteng akan penyediaan kemudahan tali pinggang keledar di tempat duduk penumpang yang bercirikan keselamatan.
“Wajib ada tali pinggang di setiap tempat duduk dalam bas. Jadi, pihak terbabit kena cari jalan bagi memastikan penumpang guna tali pinggang itu sebagai contoh tali pinggang yang mempunyai ‘alarm’.
“Jika tidak pakai (tali pinggang), maka ia akan berbunyi dan beri langkah berjaga-jaga kepada pemandu bas untuk memastikan penumpang patuhi peraturan ditetapkan,” jelas beliau.
Dalam kemalangan yang berlaku antara pukul 12.30 hingga 1 pagi itu, 15 penuntut UPSI maut selepas bas sewa khas dinaiki mereka dari Jertih ke Tanjung Malim, Perak terbalik setelah terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan pelbagai guna di JRTB.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang kereta Perodua Alza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial