GERIK, 9 Jun (Bernama) -- Bekal makanan, senaskah al-Quran dan telekung antara barangan peribadi milik mangsa yang ditemui di lokasi kemalangan membabitkan bas sewa khas yang dinaiki pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) di sini awal pagi tadi.
Tinjauan Bernama di lokasi kejadian turut menjumpai kad pengeluaran wang automatik (ATM), bantal, cermin mata, kasut, selipar, buku dan telefon bimbit serta makanan ringan yang dipercayai dibawa dari kampung halaman masing-masing selepas pulang daripada bercuti sempena Aidiladha.
Terdahulu, Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin meluangkan masa hampir sejam di lokasi kemalangan bagi mendapatkan gambaran lebih jelas mengenai kejadian dengan melihat pelbagai aspek seperti permukaan jalan raya dan keselamatan.
Noor Hisam juga sempat melihat bas yang terlibat dalam kemalangan itu ditarik oleh sebuah trak tunda sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik untuk siasatan lanjut.
Dalam kemalangan yang berlaku antara 12.30 hingga 1 pagi itu, 15 penuntut UPSI maut selepas bas dari Jerteh, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak itu terbalik dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan MPV di JRTB berhampiran Tasik Banding, Perak.
Kemalangan itu turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas serta pemandu dan tiga penumpang Alza.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial