Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Penjara Seberang Perai Laksana Program NILAM, Perkasa Amalan Membaca Penghuni

29/05/2025 05:27 PM

NIBONG TEBAL, 29 Mac (Bernama) -- Penjara Seberang Perai dipilih sebagai penjara pertama bagi pelaksanaan program Nadi Ilmu Amalan Membaca (NILAM) dalam usaha memperkasa amalan membaca dalam kalangan penghuni penjara. 

Penolong Pengarah Kanan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Pulau Pinang Zuhri Husain berkata projek perintis yayasan itu turut mendapat kerjasama daripada Jabatan Penjara Malaysia dan Jabatan Mufti Pulau Pinang. 

“Program ini adalah satu inisiatif masyarakat MADANI, apabila kita melihat prospek atau penghuni penjara wajar diberikan ruang dan peluang untuk membina semula jati diri mereka supaya mampu menjadi insan yang berdaya saing dan berperanan dalam pembentukan masyarakat MADANI.

“Inisiatif ini belum pernah dilaksanakan di mana-mana tempat lain dan Penjara Seberang Perai dipilih pada hari ini sebagai lokasi perintis dan sekiranya berjaya, YADIM akan teruskan lagi program ini ke penjara-penjara di negeri lain,” katanya kepada pemberita pada Program Kalam Mufti ‘Tausiyyah dan Soal Jawab & Pelancaran Projek NILAM Prospek Penjara Seberang Perai di Kompleks Sukan Penjara Seberang Perai di sini hari ini.

Program berkenaan dilancarkan Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Mohd Sukki Othman dan turut dihadiri Pengarah Penjara Pulau Pinang Abd Rauf Lang Pasih.

Zuhri berkata pihaknya akan menyumbang buku-buku berunsur keagamaan terpilih daripada terbitan YADIM untuk diletakkan di perpustakaan penjara sebagai bahan bacaan prospek bagi program itu.

Ad Banner

Sementara itu, Abd Rauf berkata buat permulaan, program itu akan dilaksanakan selama sebulan bermula 1 hingga 30 Jun ini.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu, semua penghuni terlibat akan membaca buku-buku yang disediakan, menyiapkan sinopsis dan membuat pembentangan ringkas kepada rakan-rakan prospek lain serta jawatankuasa penilai untuk dinilai.

“Pada akhir program, penilaian akan dibuat berdasarkan kefahaman dan penghayatan terhadap bahan bacaan. Prospek (penghuni) terbaik akan menerima penghargaan dan imbuhan daripada pihak YADIM sebagai galakan.

“Matlamat utama program ini bukan sahaja untuk meningkatkan ilmu dan pengetahuan, tetapi lebih penting lagi adalah membudayakan amalan membaca dalam kalangan mereka,” katanya.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan