KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Ikatan Komuniti Selamat menyokong penuh titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim agar rakyat Malaysia menghayati semangat perpaduan, sambil menyifatkannya sebagai peringatan penting terhadap nilai-nilai yang menjadi asas keharmonian negara, kata Pengerusinya Tan Sri Lee Lam Thye.
Beliau berkata titah Seri Paduka Baginda bahawa perpaduan adalah hadiah terhebat yang boleh diberikan rakyat adalah sangat tepat pada masanya dan amat bermakna, khususnya dalam konteks negara Malaysia yang berbilang kaum.
“Perpaduan adalah tonggak keharmonian, keamanan, kemajuan dan kemakmuran negara kita. Ia melangkaui fahaman politik, kepercayaan agama dan latar belakang etnik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Semalam, Sultan Ibrahim dalam Titah Diraja pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bagi 2025 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi di Istana Negara mengingatkan para pemimpin supaya tidak bermain politik atas isu sensitif, yang akan menimbulkan perbalahan dalam masyarakat dan menggugat kestabilan negara.
Seri Paduka Baginda bertitah apabila wujud lagi banyak parti politik atau kem dalam parti, maka rakyat akan lebih berpecah-belah dan benci-membenci di antara satu sama lain.
Lee berkata rakyat Malaysia tidak boleh mengambil mudah keharmonian yang telah membolehkan negara ini berkembang maju sebagai sebuah negara berbilang kaum dan budaya.
“Titah Seri Paduka Baginda adalah peringatan yang sangat bermakna bahawa walaupun berbeza, kita menjadi lebih kuat dan lebih baik apabila bersatu sebagai satu rakyat dengan harapan dan matlamat yang dikongsi bersama,” katanya.
Beliau berkata tanggungjawab memupuk perpaduan terletak pada semua lapisan masyarakat, terutamanya pemimpin.
Lee berkata kerajaan juga mesti terus melaksanakan dasar-dasar inklusif yang melindungi hak dan maruah semua warganegara, manakala ahli politik mempunyai tanggungjawab moral untuk mempromosikan mesej inklusif, toleransi dan saling menghormati.
“Mereka (ahli politik) perlu bangkit melebihi kepentingan sempit dan mengelakkan retorik yang menimbulkan perpecahan atau menjejaskan perpaduan negara.
“Sebaliknya, mereka (ahli politik) perlu bekerjasama merentas parti untuk memperkukuh perpaduan yang menjadi asas kestabilan negara,” katanya.
Lee berkata masyarakat sivil termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), pemimpin komuniti, warga pendidik dan media juga memainkan peranan penting dalam merapatkan jurang antara komuniti, memperjuangkan keadilan dan menggalakkan persefahaman melalui dialog serta libat urus.
“Marilah kita semua, sama ada pemimpin mahupun rakyat biasa, menyahut seruan Seri Paduka Baginda dengan menolak perpecahan, mengamalkan sikap hormat dan belas ihsan, serta berganding bahu membina sebuah Malaysia yang selamat, inklusif dan bersatu padu.
“Ini bukan sahaja hadiah terhebat yang boleh dipersembahkan kepada Seri Paduka Baginda - malah ia juga merupakan legasi terbesar yang boleh kita wariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial