Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Wakil Masyarakat Orang Asli Terharu Dijemput Ke Majlis Jamuan Teh Diraja

04/06/2025 07:48 PM

KUALA LUMPUR, 4 Jun (Bernama) -- Wakil pemimpin masyarakat Orang Asli meluahkan perasaan terharu dan teruja apabila dijemput untuk menghadiri Majlis Jamuan Teh Diraja di Istana Negara di sini hari ini, bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.

Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Melut, Sepang Mat Ajin Waya, 60, berkata sepanjang hampir 30 tahun berkhidmat sebagai Tok Batin, ini adalah kali pertama beliau menjejakkan kaki ke Istana Negara dan dijemput menyertai majlis seumpama itu.

“Saya juga dapat bersalam dan bergambar dengan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim tadi.

“Saya sangat berterima kasih, sangat menghargai jemputan kepada kami untuk bersama hadir di Istana Negara dan saya berbangga (sebagai wakil Orang Asli),” katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas majlis itu.

Pengerusi Kampung Orang Asli Kampung Bukit Bangkong, Sungai Pelek, Sepang Marin Munggai, 53, pula berkata beliau juga amat bersyukur dan berterima kasih atas jemputan ke Istana Negara yang disifatkan sebagai pengalaman berharga dalam hidupnya.

Kedua-dua pemimpin masyarakat Orang Asli itu adalah antara 1,200 jemputan pada majlis yang diadakan di Dewan Santapan Utama Istana Negara itu.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, selain menteri Kabinet, Ahli Parlimen, duta, perwakilan asing ke Malaysia dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Hadir sama Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil dan isteri Datin Azrina Puteri Mohamed Mahyuddin serta Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa dan isteri Datin Nik Noralhuda Nik Mohamed.

Majlis itu turut dihadiri tokoh guru, atlet Olimpik dan Paralimpik, bekas polis dan tentera, seniman negara selain pelajar yang bakal melanjutkan pengajian ke Universiti Harvard. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan