Oleh Adnan Mohamad
TUMPAT, 1 Jun (Bernama) -- Dua tahun lepas, Diniey Iqbal Che Kar dan isterinya, Nuur Faraiin Mat Rowi sekadar menjadikan anyaman buluh sebagai hobi mengisi waktu senggang.
Hari ini saban minggu mereka sibuk menghasilkan tempahan hasil seni yang bukan sekadar cantik, tetapi menghidupkan kembali warisan budaya yang semakin dilupakan.
Perniagaan kecil-kecilan dari Kampung Talak itu kini menjadi tumpuan, terutama bagi mereka yang mencari sentuhan tradisional dalam majlis perkahwinan, dekorasi rumah, atau acara budaya.
“Kami mula dari bawah, buat sikit-sikit di rumah. Tapi lama-lama orang mula kenal, dan sekarang tempahan datang dari seluruh negara. Baru-baru ni, ada pelanggan dari Kedah tempah 17 unit. Sebelum ni, pernah juga hantar ke Sabah dan Sarawak,” kata Diniey.
Diniey, 30, berkata hiasan anyaman dijual antara RM10 hingga RM30 bergantung pada saiz serta reka bentuk dan saiz 3x3, 3x4, dan 3x5 kaki yang paling mendapat sambutan.
Kerja menganyam bukan semata-mata soal kreativiti, tetapi ketelitian, Diniey dan Nuur Faraiin memilih buluh kelopak hitam, sejenis buluh tempatan yang tahan lama dan mudah dibelah.
Setiap batang buluh akan dibelah mengikut ukuran tertentu, kemudian diraut nipis dan dikeringkan, sama ada secara semula jadi atau dijemur terus di bawah matahari.
Beliau berkata bahagian paling penting adalah memastikan lebar jalur buluh sekata, jika tidak anyaman akan menjadi senget dan tidak rapi.
Cabaran terbesar bukan pada proses itu, sebaliknya yang lebih membimbangkan semakin kurang generasi muda yang berminat untuk mewarisi seni ini.
“Di Kampung Talak dan kampung sekitarnya seperti Jal Kechil dan Ana hanya tinggal segelintir warga emas, tidak sampai 10 orang yang masih aktif menganyam,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Nuur Faraiin, 29, berkata seni anyaman bukan sekadar produk, tetapi juga medium yang boleh mengungkap rasa.
Mereka juga menawarkan perkhidmatan hiasan tapak majlis, lengkap dengan tema dan warna pilihan pelanggan yang semuanya berasaskan elemen buluh.
“Kami seronok bila lihat masyarakat mula menghargai kembali unsur tradisional. Ia beri semangat untuk kami terus kembangkan perniagaan.
“Selain itu, kami juga merancang untuk memperluas pasaran secara dalam talian dan menyertai lebih banyak ekspo kraf tangan anjuran agensi kerajaan dengan impian membawa hasil kerja tangan kampung ke pentas lebih luas,” katanya.
Lebih daripada sekadar memenuhi tempahan, Diniey juga membantu memasarkan produk anyaman penduduk lain seperti dulang buluh (badang), bakul, loceng buluh, tudung saji dan tikar. Baginya, seni desa bukan sisa zaman ia sumber rezeki jika digarap dengan betul.
“Kalau kita tak buat, siapa lagi? Sayang kalau buluh-buluh yang banyak di kampung dibiarkan begitu saja. Ia boleh jadi pendapatan, boleh jadi kebanggaan,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial