KANGAR, 30 Mei (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat elemen ketidakpatuhan peraturan dalam kalangan pegawai, yang gagal mengisytiharkan pelupusan harta dalam Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS).
Ketua Pengarah JPJ Datuk Aedy Fadly Ramli berkata isu ketidakpatuhan itu akan dibawa ke jawatankuasa tatatertib selepas terbukti wujud elemen sedemikian daripada penelitian dilakukan pihaknya terhadap dapatan Siasatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).
“Kita akan teliti laporan siasatan ini dan mengambil tindakan sewajarnya. Kalau daripada hasil penelitian kita ini ada berlaku elemen ketidakpatuhan kepada peraturan-peraturan penjawat awam, kita akan bawa ke jawatankuasa tatatertib,” katanya pada sidang media selepas merasmikan penyerahan lesen memandu Program MyLesen B2 peringkat negeri di sini hari ini.
Hari ini media melaporkan siasatan EAIC mendapati terdapat pegawai JPJ yang gagal mengemas kini dan mengisytiharkan pelupusan harta dalam HRMIS, dan dalam laporan media itu menyatakan EAIC memaklumkan pihaknya menerima aduan terhadap JPJ Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ KL) melibatkan beberapa nombor pendaftaran kenderaan.
Laporan media itu turut menyatakan EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan itu kepada Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) JPJ dengan cadangan Surat Teguran diberikan kepada pegawai JPJ yang terlibat.
Mengenai Program MyLesen B2 di Perlis, Aedy Fadly berkata 800 individu daripada golongan B40 berjaya memperoleh lesen motosikal secara percuma, dengan lebih 80 peratus terdiri daripada pelajar sekolah.
“Sebanyak 1,200 permohonan diterima di Perlis dan 800 daripadanya telah lulus ujian,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial