Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

EAIC Turun Padang Dapatkan Input Pemuliharaan, Pemeliharaan HSK

28/05/2025 02:35 PM

TEMERLOH, 28 Mei (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengambil langkah proaktif dengan mengadakan lawatan ke Pejabat Hutan Daerah di sini bagi mendapatkan maklumat berhubung pemuliharaan dan pemeliharaan Hutan Simpan Kekal (HSK) oleh Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Setiausaha merangkap Ketua Pegawai Eksektutif EAIC Asliza Ali berkata lawatan ini juga bertujuan memperkukuh usaha penguatkuasaan dan tadbir urus sektor perhutanan negara selain sebagai inisiatif Focus Group (FG) Penguatkuasaan yang diterajui oleh suruhanjaya itu.

Beliau berkata inisiatif ini juga susulan dapatan Laporan Bertelsman Stiftung Transformation Index(BTI) 2024, yang menekankan isu penebangan hutan, kelemahan penguatkuasaan alam sekitar dan ketidakseimbangan antara pembangunan ekonomi dan kelestarian alam sekitar.

“Antara isu dikenal pasti BTI adalah kelemahan dalam penguatkuasaan undang-undang perhutanan dan isu pembalakan haram, prosedur lesen pembalakan serta kelemahan pengurusan perhutanan yang mengakibatkan hakisan tanah selain banjir kilat. 

“Justeru, dengan lawatan ini kami akan dapat input daripada JPSM berhubung pemuliharaan dan pemeliharaan HSK selepas lesen mengambil hasil hutan telah tampat tempoh serta mendapatkan taklimat berkaitan penggunaan teknologi satelit dalam mengesan sebarang perubahan hutan di negara ini, dan fungsinya dalam menangani isu hutan secara proaktif,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Pejabat Hutan Daerah di sini hari ini sebelum meluangkan masa melawat kawasan hutan terpulih di Temerloh. 

Ad Banner

Dalam pada itu beliau memaklumkan, pada 2024 sebanyak 32 kes pembalakan haram direkodkan di Semenanjung Malaysia melibatkan kawasan seluas 100 hektar dengan 368 tangkapan dilaksanakan.

Sementara itu, Asliza berkata lawatan ini juga memberi peluang kepada Pasukan Petugas Khas Indeks Persepsi Rasuah (CPI) EAIC membuat pemerhatian terhadap kawasan HSK yang telah dijaga dan dibuat semula penanaman pokok.

“Kita juga  dapat memahami cabaran semasa yang dihadapi oleh agensi berkaitan, khususnya dari segi penguatkuasaan dan menilai keberkesanan pelaksanaan sedia ada serta tahap sokongan yang diperlukan oleh JPSM dalam menyelesaikan isu pembalakan haram.

“Sebelum ini, indeks rasuah mereka cuma melihat kepada laporan dekat laman web saja, tidak pergi kepada sumber, jadi sekarang ini kita pergi kepada sumber sepatutnya, dan tunjuk kepada orang yang melaporkan bahawa inilah keadaan sebenar,” katanya. 

Beliau berkata usaha ini juga bagi memperbaiki prestasi Malaysia yang menyasarkan tangga 25 ke atas dalam kedudukan global CPI menjelang 2033.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan