KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- ASEAN giat memperkukuh kerjasama dengan rakan antarabangsa sambil menumpukan usaha membina komuniti serantau yang lebih kuat dan bersatu padu, mendukung keamanan, serta yakin dan hormat kepada undang-undang antarabangsa.
Dalam kenyataan Pengerusi yang dikeluarkan selepas berakhirnya Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 hari ini, para pemimpin ASEAN menekankan kepentingan mengekalkan perpaduan dan Kepusatan ASEAN dalam menangani hubungan dengan rakan luar.
“Kami menegaskan keperluan mewujudkan persekitaran pemungkin bagi keamanan, kestabilan dan kemakmuran untuk semua dengan memastikan budaya berdialog dan bekerjasama, bukannya persaingan, memperkukuh kepercayaan dan keyakinan bersama, serta menghormati undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.
Pendekatan ini adalah sebahagian daripada matlamat lebih luas ASEAN untuk membentuk seni bina serantau yang berdaya tahan dan berasaskan peraturan, serta berpandukan undang-undang antarabangsa.
Pemimpin-pemimpin turut mengambil maklum minat yang semakin meningkat daripada negara-negara, organisasi serantau dan antarabangsa untuk merintis hubungan rasmi dan kerjasama substantif dengan ASEAN.
Perkembangan ini mencerminkan peranan ASEAN yang semakin relevan di peringkat global serta keupayaannya sebagai platform unik untuk diplomasi dalam ketidaktentuan geopolitik dan geo-ekonomi masa kini.
Melihat ke hadapan, ASEAN menantikan hasil positif daripada beberapa Sidang Kemuncak penting yang akan diadakan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Mesyuarat Berkaitan pada Oktober 2025 di Malaysia, termasuk Sidang Kemuncak ASEAN-Australia ke-5; Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-28; Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-28; Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan (ROK) ke-26; Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-13 dan Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-22.
Kemajuan ketara juga telah dicapai dalam memuktamadkan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP), termasuk perkongsian terbaharu ASEAN-Korea Selatan dan rancangan sedang diatur untuk mewujudkan kerjasama serupa dengan New Zealand.
“Kami menantikan pengukuhan hubungan ASEAN dengan Kanada, China, India, New Zealand, Korea Selatan, Rusia, Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menerusi Pelan Tindakan (POA) 2026–2030 yang baharu serta Kenyataan Visi Bersama dengan Amerika Syarikat.
“Dokumen-dokumen ini akan menjadi panduan dalam memajukan lagi hubungan luar ASEAN sejajar dengan Visi Komuniti ASEAN 2045 dan Pelan Strategik masing-masing,” menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial