KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama-WAM) -- Emiriah Arab Bersatu (UAE) menyeru perpaduan yang lebih erat dan kerjasama mendalam antara ASEAN, Majlis Kerjasama Teluk (GCC) dan China bagi memacu kemakmuran global serta menangani cabaran bersama.
Ahli Majlis Tertinggi dan Pemerintah Ras Al Khaimah, Sheikh Saud bin Saqr Al Qasimi menyampaikan mesej berkenaan bagi pihak Presiden UAE Sheikh Mohamed bin Zayed Al Nahyan pada Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang diadakan di Kuala Lumpur pada Selasa, lapor Agensi Berita Emirates (WAM).
Dalam ucapannya, Sheikh Saud berkata UAE percaya bahawa "solidariti adalah jalan terbaik ke hadapan" dan menekankan bahawa kemakmuran global hanya dapat dicapai melalui saling menghormati, kerjasama dan perkongsian jangka panjang.
Beliau memuji sidang kemuncak itu sebagai lambang keterbukaan dan semangat kerjasama, selain merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakyat Malaysia atas layanan mesra yang diberikan.
Sheikh Saud turut menyifatkan penganjuran sidang itu sebagai contoh kejayaan yang mampu dicapai apabila negara-negara bekerjasama.
Beliau berkata pertumbuhan kerjasama antara ASEAN, negara GCC dan China mencerminkan nilai kepercayaan dan kepentingan bersama dalam usaha membina masa depan global yang lebih baik.
Menurutnya, UAE berbangga dengan hubungan yang semakin erat dengan semua negara yang mengambil bahagian dalam sidang berkenaan. Perkongsian ini, katanya, kini menjadi kunci dalam menangani cabaran besar seperti perubahan iklim, keselamatan tenaga, kesiapsiagaan pandemik dan bekalan makanan.
Sheikh Saud turut menyuarakan keyakinan bahawa Asia Tenggara dan China akan terus berkembang pesat, sekali gus membuka peluang baharu kepada pembangunan berasaskan inovasi di seluruh rantau ini.
Beliau mengulangi komitmen UAE untuk memperkukuh kerjasama tiga hala, dan yakin sidang kali ini bakal menjadi permulaan bab baharu dalam hubungan serantau.
UAE juga merakamkan penghargaan kepada Malaysia atas kepimpinan dalam menganjurkan perhimpunan berkenaan.
Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China bertujuan menggalakkan perdagangan, pelaburan dan kerjasama sektor awam-swasta, selain membangunkan rangka kerja yang menyokong pertumbuhan mampan dan meningkatkan daya saing serantau.
Delegasi UAE turut disertai pegawai kanan dan menteri termasuk Sheikh Khalid bin Saud bin Saqr Al Qasimi, Dr Thani bin Ahmed Al Zeyoudi, Ahmed Al Sayegh, Khalifa Shaheen Al Marar, Khalil Mohammed Sharif Foulathi serta duta UAE ke Malaysia dan ASEAN.
-- BERNAMA-WAM
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial