ALOR SETAR, 27 Mei (Bernama) -- Sebanyak 87,173 tiket feri dari Kuala Perlis dan Kuala Kedah ke Langkawi serta sebaliknya terjual sepanjang Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA'25) baru-baru ini.
Pengurus Operasi Ferry Line Ventures Sdn Bhd (Ferry Line) Lt Komander (B) Norhafiz Abdul Wahid berkata jumlah tiket yang terjual itu adalah bagi tarikh bermula 20 hingga 25 Mei, yang dijual menerusi pembelian tiket dalam talian dan di kaunter tiket yang disediakan.
“Dalam tempoh itu, Ferry Line telah menambah 126 trip perjalanan berdasarkan permintaan penjualan tiket yang meningkat. Sambutan cukup menggalakkan dari Terminal Jeti Kuala Kedah dan Terminal Jeti Kuala Perlis.
“Sepanjang tempoh itu, tiada sebarang masalah yang dihadapi pihak Ferry Line termasuk kelewatan perjalanan feri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Norhafiz berkata Ferry Line juga melanjutkan perkhidmatan trip tambahan hingga 10 malam untuk kedua-dua hala dari Langkawi ke Kuala Perlis dan Langkawi ke Kuala Kedah bagi membolehkan orang ramai yang ingin menyaksikan LIMA’25 masuk serta keluar ke Langkawi pada tarikh sama.
Bertemakan Inovasi Hari Ini Pencapaian Masa Hadapan, LIMA'25 adalah pameran terbesar dalam industri maritim dan aeroangkasa di Asia Tenggara sejak dianjurkan kali pertama pada 1991.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial