Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Sarawak Mampu Capai Sasaran Lima Juta Pelancong Tahun Ini

27/05/2025 11:21 AM

KUCHING, 27 Mei (Bernama) -- Sektor pelancongan Sarawak sedang mencatat pertumbuhan yang kukuh apabila lebih 1.6 juta pengunjung direkodkan dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini menjadikannya berada pada landasan tepat untuk mencapai sasaran lima juta pelancong pada 2025.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata jumlah ketibaan pelancong setakat ini turut memberinya keyakinan bahawa Sarawak mampu mencatat hasil pelancongan sebanyak RM12.73 bilion tahun ini.

“Hasil pelancongan mencecah RM12.45 bilion pada 2024, meningkat daripada RM9.99 bilion pada 2023. Dari Januari hingga April tahun ini sahaja, kita telah menjana sebanyak RM4.07 bilion,” katanya semasa sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.

Beliau berkata Sarawak menerima 4.83 juta pelawat pada tahun lepas, peningkatan sebanyak 23 peratus berbanding tahun sebelumnya dan melebihi angka sebelum pandemik pada 2019 sebanyak 3.63 peratus.

Abdul Karim berkata majoriti pelancong antarabangsa ke Sarawak masih datang dari negara-negara ASEAN dengan Brunei Darussalam berada di kedudukan teratas dengan 1.89 juta pelawat, diikuti Indonesia (653,883), Singapura (59,793) dan Filipina (46,853).

Sementara itu, beliau berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), Sarawak telah memperuntukkan RM382.57 juta, ditambah dengan RM136.44 juta melalui Projek Rakyat serta RM49.9 juta daripada dana Persekutuan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) bagi mempertingkatkan infrastruktur pelancongan.

Abdul Karim berkata antara projek yang telah siap termasuk kerja pemuliharaan kubu bersejarah, kemudahan ekopelancongan di Taman Negara Santubong, naik taraf Pusat Pelancongan Air Terjun Melasak serta penambahbaikan di Kampung Budaya Sarawak.

Mengenai program Sarawak-Malaysia My Second Home (SMM2H), beliau berkata program berkenaan telah menunjukkan peningkatan minat sejak 2020 dan sehingga Mei 2025, sebanyak 3,141 permohonan telah diluluskan sejak ia diperkenalkan pada 2007.

“Pada tahun lepas, sebanyak 560 kelulusan di bawah SMM2H telah membawa masuk RM111.6 juta dalam bentuk deposit tetap, manakala 265 kelulusan pada awal 2025 telah menambah RM65.3 juta lagi,” katanya sambil menambah bahawa penyertaan tertinggi dalam program berkenaan datang dari China, United Kingdom, Taiwan, Hong Kong dan Amerika Syarikat (AS).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan