KUCHING, 5 Jun (Bernama) -- Sarawak mempunyai potensi besar untuk menarik lebih ramai warga Jepun menyertai program Sarawak-Malaysia My Second Home (S-MM2H) berikutan peningkatan jumlah pelancong dari negara matahari terbit itu.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata program SMM2H ini cukup popular dalam kalangan warga China dan boleh dipromosikan kepada warga Jepun yang berminat menyertainya.
“Terpulang kepada mereka (warga Jepun) untuk melihat apa yang ada di Sarawak, tetapi apa yang dapat saya lihat, terutamanya daripada pemohon dari Eropah ataupun China, mereka melihat Sarawak ini sebagai satu tempat yang selamat dan mempunyai kemudahan perubatan yang baik,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Leo anjuran Kelab Lions di sini hari ini.
Beliau berkata faktor keselamatan dan kemudahan perubatan yang berkualiti tinggi menjadi daya tarikan utama, khususnya bagi golongan warga emas yang lebih terdedah kepada masalah kesihatan.
Bidang pendidikan turut menjadi faktor tarikan kepada warga asing untuk menyertai program SMM2H kerana anak-anak mereka berpeluang belajar di beberapa sekolah antarabangsa di Sarawak.
Dalam sesi penggulungan untuk kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak bulan lepas, Abdul Karim memaklumkan sebanyak 560 permohonan untuk menyertai program SMM2H diluluskan pada tahun lepas, manakala 265 permohonan lagi diluluskan sehingga pertengahan Mei lepas.
Beliau berkata kelulusan itu telah memberikan impak ekonomi dalam bentuk deposit tetap yang disumbangkan peserta yang keseluruhannya berjumlah RM176.9 juta.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial