Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

ASEAN: Sidang Hari Ini Dijangka Perkukuh Peranan Malaysia Ketuai Agenda Kerjasama Strategik

27/05/2025 09:47 AM

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang memasuki hari terakhir hari ini, akan meneruskan momentum positif yang telah dicapai semalam dan dijangka memperkukuh lagi peranan Malaysia dalam mengetuai agenda kerjasama strategik ASEAN bersama rakan serantau dan global.

Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri Tunku Nashrul Abaidah berkata dengan tumpuan kepada sidang-sidang penting yang berlangsung, Malaysia komited untuk memastikan bahawa Kepengerusian ASEAN 2025 terus menghasilkan keputusan yang bermakna, berpaksikan prinsip, dan memberi kesan langsung kepada rakyat ASEAN.

“Melihat kepada kejayaan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 ini, kita harus berbangga mempunyai pasukan yang komited untuk mengharumkan nama negara dan membawa pulangan hasil yang terbaik buat rakyat keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Anwar Ibrahim dan Facebook PMO Malaysia hari ini.

Tunku Nashrul berkata sidang hari ini akan menyaksikan tumpuan utama kepada pengukuhan kerjasama ASEAN bersama rakan strategik, menerusi penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan bertujuan memperkukuh kerjasama serantau dan antara rantau.

Beliau berkata kedua-dua sidang itu akan membincangkan langkah konkrit untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan pembangunan mampan, selaras dengan aspirasi ASEAN untuk memainkan peranan lebih besar dalam landskap geoekonomi Indo-Pasifik.

Ad Banner

Turut berlangsung hari ini ialah Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-16 dan Sidang Kemuncak Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) ke-16 yang akan memperkemas agenda pembangunan subrantau dan mengukuhkan keterhubungan rentas sempadan dalam kalangan negara terlibat.

Mengenai Deklarasi Kuala Lumpur Mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama, Tunku Nashrul berkata ia merupakan antara satu pencapaian utama sidang kemuncak semalam yang menjadi sebuah visi strategik jangka panjang yang akan memacu Komuniti ASEAN bagi dua dekad mendatang.

Beliau berkata dokumen itu merupakan kesinambungan ASEAN 2025: Forging Ahead Together yang dimeterai pada Kepengerusian Malaysia 2015 dan kini menjadi peta hala tuju baharu untuk menjadikan ASEAN sebuah komuniti berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat, serta menjadi pusat pertumbuhan utama di rantau Indo-Pasifik menjelang 2045.

“Visi ini digariskan melalui enam dokumen penting termasuk pelan strategik bagi tiga tunjang komuniti ASEAN serta pelan keterhubungan serantau.

“Ia merangkumi lebih 500 langkah strategik yang akan diterjemahkan kepada program kerja konkrit oleh badan-badan sektoral ASEAN, “ katanya.

Beliau berkata antara intipati utama ASEAN 2045 adalah untuk memperkukuh kedudukan ASEAN dalam ekonomi global sebagai pasaran tunggal yang mampan, pintar dan bersambung, mewujudkan komuniti yang inklusif, dengan tumpuan kepada pendidikan, kesihatan, peluang pekerjaan dan kesejahteraan sosial.

Selain itu, ia turut mengangkat ASEAN sebagai entiti yang berperanan aktif di peringkat antarabangsa melalui prinsip keamanan, multilateralisme dan tadbir urus baik.

Tunku Nashrul berkata ASEAN 2045 turut memberi penekanan kepada peranan belia, wanita dan golongan rentan dalam proses pembinaan komuniti serantau.

Dokumen itu ditandatangani oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN, Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos Jr., yang juga pengerusi ASEAN akan datang, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Singapura Lawrance Wong, Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar Aung Kyaw Moe.

Turut berada di pentas menyaksikan majlis itu ialah Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao, Timor-Leste diberikan status pemerhati dalam ASEAN pada 2022.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan