Oleh Karina Imran & Fatin Umairah Abdul Hamid
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Para pemimpin Asia Tenggara memberikan maklum balas positif kepada 12 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang dikemukakan oleh Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) yang bertujuan memperkukuh integrasi serantau.
Pengerusi ASEAN-BAC Tan Sri Nazir Razak berkata semua PED itu merupakan inisiatif ekonomi penting yang dirangka untuk merangsang pertumbuhan dan integrasi serantau, terutama di bawah tonggak Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC).
Antara usaha untuk memperkukuh integrasi ekonomi termasuk menggalakkan pertumbuhan inklusif, memacu kemampanan dan mengembangkan ekonomi digital.
“Projek-projek ini akan mengambil masa kerana kalangan pegawai perlu meneliti implikasi dasar dan perubahan polisi,” katanya kepada pemberita selepas sesi perbincangan antara ASEAN-BAC dengan Pemimpin ASEAN di sini, hari ini.
Antara inisiatif PED lain ialah Entiti Perniagaan ASEAN (ABE) utama dan prospektus Tawaran Awam Awal (IPO) ASEAN.
Nazir berkata perniagaan ASEAN perlu mengukuhkan kerjasama dan memanfaatkan peluang dalam blok serantau ekoran keadaan ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau berkata sektor awam dan swasta di seluruh ASEAN, sebagai satu rantau, mesti bekerjasama untuk memanfaatkan peluang yang muncul.
“Kita semua perlu bekerjasama kerana kita boleh melakukan lebih banyak perkara. Sudah tentu, kita memberi perhatian kepada perkara yang disampaikan oleh kerajaan dan para pemimpin, dan kita mahu melaksanakannya.
“Pastinya ada beberapa perubahan dasar yang akan membantu kami dan itulah yang sedang kami usahakan,” katanya.
Sesi perbincangan itu diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46.
Sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan”, Malaysia menganjurkan Sidang Kemuncak ASEAN hari ini dan esok di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Acara itu diadakan bersama dua sidang kemuncak utama lain, Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung-julung kali diadakan, sebagai platform penting memperluas kerjasama serantau dan antara rantau.
Sepanjang menjadi anggota dalam blok 10 negara ini, Malaysia telah mempengerusikan ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial