Oleh Harizah Hanim Mohamed
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN menggesa Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN (ASEAN-BAC) untuk mengemukakan cadangan konkrit bagi meningkatkan perdagangan intra-ASEAN yang berjumlah hanya kira-kira 20 peratus ketika ini.
Beliau berkata rakan sejawatannya dalam perkumpulan itu telah menyatakan hasrat bersama untuk memanfaatkan potensi penuh ekonomi rantau ini serta meningkatkan lagi peluang bagi mengembangkan perdagangan intra-ASEAN.
“Cadangan telah dikemukakan oleh para Presiden dan Perdana Menteri (ASEAN), dan sebenarnya tidak ada sebab mengapa pelaburan perdagangan intra-ASEAN kita terhad pada peringkat ini sahaja, (kerana) potensinya amat besar.
“Jadi, silalah kemukakan beberapa cadangan tertentu yang terperinci bagaimana kita boleh menarik penggubal dasar untuk menerima beberapa cadangan,” kata beliau menerusi ucapan perasmiannya pada acara Pertemuan Pemimpin ASEAN dengan Wakil Majlis Penasihat Perniagaan Asean (ASEAN-BAC), di sini, hari ini.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata, ASEAN BAC akan turut hadir pada semua mesyuarat ASEAN sebagai prosedur standard untuk mengemukakan pandangan dan cadangan mereka.
Ketua-Ketua Negara yang hadir pada acara tersebut termasuk Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah; Presiden Indonesia, Prabowo Subianto; Perdana Menteri Kemboja Hun Manet; Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone; Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh; Presiden Filipina Ferdinand Marcos Jr; Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong; dan Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra.
Turut hadir ialah Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmão sebagai Pemerhati dan Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.
Tahun ini merupakan kali kelima Malaysia mempengerusikan blok serantau itu, setelah pernah memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Sempena sidang kemuncak itu, dua acara peringkat tinggi turut diadakan iaitu Sidang Kemuncak ASEAN-GCC Ke-2 serta Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China yang julung kalinya diadakan, yang berfungsi sebagai platform strategik untuk memajukan kerjasama serantau dan antara rantau.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial