KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Visi Komuniti ASEAN 2045 (ACV 2045), yang diterima pakai pemimpin serantau pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini, menetapkan satu pelan tindakan berani dan berpandangan jauh yang meletakkan rakyat blok itu sebagai teras integrasi dan pembangunan serantau untuk dua dekad akan datang.
Ia menjanjikan rantau yang lebih aman, stabil dan makmur, sambil memastikan warga ASEAN adalah sebahagian daripada komuniti yang bersatu padu dan inklusif yang menghormati kepelbagaian politik, sosial, agama, budaya dan etnik, mempromosikan hak asasi manusia serta menegakkan keadilan sosial.
Menurut soalan lazim (FAQ) mengenai ASEAN 2045 yang dikeluarkan hari ini, Visi itu mengesahkan aspirasi ASEAN untuk menjadi pasaran tunggal yang makmur, dipacu oleh tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, berinovasi dan inklusif.
“Rakyat ASEAN dijangka menerima manfaat daripada peluang pekerjaan yang lebih baik, pekerjaan berkualiti, pergerakan tenaga kerja berkemahiran dan bakat, serta ekosistem serantau yang berkembang maju dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.
“Visi ini juga mengetengahkan akses kepada ruang digital yang selamat dan boleh dipercayai serta pertumbuhan mampan yang didorong oleh ekonomi hijau dan biru,” menurut dokumen berkenaan.
Dokumen itu turut menggariskan pengukuhan ketersambungan intra-ASEAN, kemudahan perjalanan dan urusan perniagaan, penggunaan mata wang tempatan bagi urus niaga rentas sempadan, dan akses lebih baik kepada sistem penjagaan kesihatan yang berdaya tahan.
Yang penting, ia memastikan akses saksama kepada peluang, terutamanya untuk golongan wanita, belia dan kanak-kanak sekali gus membolehkan penyertaan lebih besar dalam proses membuat keputusan.
“Bagi rakan luar ASEAN, ACV 2045 membuka pintu kepada jalinan kerjasama strategik dengan blok serantau yang dinamik dan berdaya tahan, komited serta mempunyai keupayaan untuk menyumbang kepada rantau yang aman, selamat dan stabil.
“Ia juga menyediakan peluang kerjasama dalam menangani isu antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama seperti perubahan iklim dan alam sekitar, kesihatan awam, ancaman keselamatan bukan tradisional dan tadbir urus ekonomi global,” menurut dokumen itu.
Dokumen terbabit menyatakan bahawa pihak berkepentingan luar berpeluang meraih manfaat daripada peningkatan perdagangan, pelaburan dan kerjasama inovasi, penglibatan pertahanan dan keselamatan yang lebih mendalam, dan perkongsian amalan terbaik dalam integrasi serantau.
Visi berkenaan juga mengesahkan semula peranan ASEAN sebagai suara yang berwibawa dan bersatu dalam hal ehwal global, khususnya di bawah Pandangan ASEAN tentang Indo-Pasifik (AOIP).
Hari ini, pemimpin ASEAN menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Menerusi deklarasi itu, pemimpin ASEAN menerima pakai Visi Komuniti ASEAN (ACV) 2045 dan semua Pelan Strategik yang berkaitan.
Mereka juga mengesahkan komitmen untuk memastikan pelaksanaan visi berkenaan mengikut masa yang ditetapkan dan secara berkesan melalui badan dan institusi ASEAN yang relevan.
Pemimpin menggalakkan sokongan dan sumbangan daripada pihak berkepentingan luar dalam merealisasikan Visi berkenaan, di samping menugaskan menteri-menteri ASEAN dan Sekretariat ASEAN untuk mengagihkan sumber dari dalam dan luar rantau ini.
Selain itu, pemimpin bersetuju untuk mempergiat usaha bagi mempertingkatkan keupayaan dan keberkesanan institusi ASEAN termasuk memperkukuh peranan Sekretariat ASEAN untuk memajukan pelaksanaan dan penyelarasan yang lancar merentasi sektor dan tonggak.
Mereka turut menugaskan Setiausaha Agung ASEAN untuk memantau dan melaporkan kemajuan pelaksanaan ACV 2045 setiap tahun melalui Majlis Penyelaras ASEAN dan Majlis Komuniti ASEAN yang berkaitan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial