Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner
 AM > BERITA

Deklarasi KL Detik Penting Dalam Perjalanan Integrasi Rantau Ini - PM Anwar

26/05/2025 08:55 PM

KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menyifatkan penandatanganan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama sebagai detik yang paling penting dalam perjalanan integrasi rantau ini.

Dalam menegaskan bahawa masa depan ASEAN mesti bergantung kepada "asas kemampanan dan keterangkuman," Perdana Menteri berkata integrasi serantau mesti benar-benar berpaksikan rakyat.

“Ini bermakna menutup jurang perbezaan pembangunan, meningkatkan taraf hidup dan melabur dalam semangat kemanusiaan dan potensi semua rakyat kita,” katanya dalam ucapan perasmian sebelum majlis menandatangani Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Masa Depan Bersama di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini, hari ini. 

Deklarasi itu, yang diperakui semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini, mewakili satu peristiwa penting dalam komitmen blok tersebut membina komuniti serantau yang lebih berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat.

Visi baharu itu akan menggantikan ASEAN 2025: Forging Ahead Together yang diterima pakai pada 2015.

Dokumen itu ditandatangani oleh Anwar selaku Pengerusi ASEAN, Presiden Filipina Ferdinand Romualdez Marcos Jr., yang juga pengerusi ASEAN akan datang, Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Kemboja Hun Manet, Presiden Indonesia Prabowo Subianto, Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone, Perdana Menteri Singapura Lawrance Wong, Perdana Menteri Thailand Paetongtarn Shinawatra, Perdana Menteri Vietnam Pham Minh Chinh, dan Setiausaha Tetap Kementerian Luar Myanmar Aung Kyaw Moe.

Ad Banner

Turut berada di pentas menyaksikan majlis itu ialah Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmao, Timor-Leste diberikan status pemerhati dalam ASEAN pada 2022.

Antara yang turut menyaksikan majlis penandatanganan ialah dua Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Mewnteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Anwar berkata pelan tindakan bersama yang digariskan dalam Deklarasi Kuala Lumpur adalah visi yang berpaksikan realisme, digerakkan oleh keazaman dan dilaksanakan menerusi kepercayaan.

“Apabila kita buka halaman ini, kita perbaharui janji kepada rakyat, kepada rantau kita dan kepada generasi yang akan datang. Mari kita bergerak ke hadapan dengan visi yang jelas, mantap dalam tujuan kita dan perpaduan dalam hasrat untuk membina ASEAN yang kita wariskan kepada generasi akan datang,” katanya.

Memetik deklarasi penubuhan ASEAN pada 1967, Anwar berkata pemimpin awal blok itu berjanji untuk bersatu dalam persahabatan dan kerjasama, dan melalui usaha serta pengorbanan bersama, menjamin keselamatan buat rakyat mereka dan untuk generasi berikutnya, dirahmati dengan keamanan, kebebasan dan kemakmuran.

“Hari ini kita perbaharui janji suci kita bukan sebagai penghormatan kepada masa lalu, tetapi sebagai janji untuk kehidupan untuk masa depan,” katanya.

Anwar berkata seperti yang sering diperkarakan ramai, cara terbaik untuk meramal masa depan ialah menciptanya sendiri, dan itulah yang sedang diusahakan ASEAN, melalui usaha yang konsisten selama bertahun-tahun, perkongsian bersama dan visi strategik.

Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang dalam membentuk Visi ASEAN 2045, dengan berkata bahawa ia dicapai melalui kegigihan, pragmatisme dan kuasa kepercayaan serantau.

Anwar mengimbau sedekad lalu, ASEAN telah melancarkan Visi Komuniti ASEAN 2025 di Kuala Lumpur, menegaskan peranan blok itu sebagai tonggak kestabilan dan pusat tarikan ekonomi yang semakin meningkat.

"Namun hari ini, aturan antarabangsa tidak menentu. Ketegangan geopolitik, penjejasan ekonomi, iklim dan gangguan teknologi sedang menguji ikatan antara negara," katanya.

Anwar berkata tahun-tahun mendatang akan dicorakkan oleh revolusi dalam teknologi dan sains, khususnya dalam kecerdasan buatan, inovasi digital, dan ekonomi hijau dan biru.

"Keupayaan kita untuk memimpin dalam kecerdasan buatan, inovasi digital, ekonomi hijau dan biru akan menentukan bukan sahaja kemakmuran kita, tetapi juga perpaduan kita," katanya.

Bagaimanapun beliau memberi amaran mengenai risiko yang ditimbulkan oleh teknologi baru muncul.

"Jika tidak diurus, ia mungkin meluaskan lagi ketidaksamaan, menjejaskan kehidupan dan mengatasi peraturan kita. Kita bukan sahaja perlu menerima inovasi, malah kita mesti belajar untuk mentadbirnya, bersama-sama dan dengan berhati-hati," katanya.

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan