Oleh Anas Abu Hassan
KUALA LUMPUR, 26 Mei (Bernama) -- Kerjasama strategik baharu untuk meneroka eksport tenaga elektrik boleh baharu dari Vietnam ke Malaysia dan Singapura menandakan permulaan inisiatif Grid Tenaga ASEAN (APG), melibatkan talian penghantaraan daratan dan kabel bawah laut, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.
Fadillah, yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata pertukaran dokumen perjanjian pembangunan bersama antara dua konsortium hari ini menjadi tanda kerjasama serantau yang penting dalam tenaga bersih antara Vietnam, Malaysia dan Singapura, melibatkan bekalan tenaga boleh baharu (TBB).
Menerusi perjanjian itu, Malaysia diwakili oleh MY Energy Consortium -- sebuah konsortium tidak diperbadankan yang ditubuhkan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) -- akan bekerjasama dengan konsortium yang terdiri daripada PetroVietnam Technical Services Corporation (PTSC), entiti Vietnam National Industry-Energy Group (Petrovietnam), dan Sembcorp Utilities Pte Ltd, anak syarikat milik penuh Sembcorp Industries yang berpangkalan di Singapura.
Fadillah berkata perincian teknikal akan dibincangkan dalam fasa-fasa seterusnya, manakala perjanjian yang dimeterai hari ini meletakkan asas bagi kerjasama lebih kukuh, sejajar dengan visi Grid Tenaga ASEAN.
“Bekalan tenaga boleh baharu ini akan melalui kabel bawah laut, (teknikal dan sokongan kewangan) ditanggung oleh Petronas dan TNB. Ini baru permulaan,” katanya kepada pemberita selepas majlis pertukaran perjanjian pembangunan bersama itu di sini, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatan dari Singapura, Lawrence Wong dan Vietnam, Pham Minh Chinh menyaksikan pertukaran perjanjian pembangunan bersama antara dua konsortium itu di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 di sini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan mengesahkan bahawa kajian kebolehlaksanaan bagi kerjasama strategik itu dijangka siap pada Oktober 2025.
“Hal yang kita lihat hari ini ialah langkah pertama dalam usaha bersama antara pihak-pihak dalam negara anggota ASEAN untuk memastikan matlamat APG menjadi kenyataan.
“Langkah seterusnya adalah untuk kita menjalankan kajian kebolehlaksanaan, dan dari situ kita akan menilai tahap dan skop usaha yang akan kita laksanakan,” katanya.
Pada Ahad, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata rundingan berkaitan memorandum perjanjian yang dipertingkat untuk Grid Tenaga ASEAN dijangka dimuktamadkan dengan majlis menandatangani pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43, Oktober depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial