ALOR SETAR, 26 Mei (Bernama) -- Seramai 300 usahawan bimbingan Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) menyertai Majlis Himpunan Usahawan KEDA 2025 yang julung kali diadakan bagi memperkasakan lagi jaringan perniagaan mereka.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata majlis yang mengumpulkan usahawan KEDA daripada pelbagai kluster perniagaan itu antara usaha ke arah pembangunan usahawan lebih efektif khususnya di luar bandar.
"Himpunan ini bersempena ulang tahun penubuhan KEDA yang ke-44. Objektif himpunan ini adalah untuk memperkenalkan teknik pemasaran terkini melalui platform digital dan media sosial bagi membolehkan usahawan mengenal pasti entiti perniagaan dan sasaran pelanggan yang tepat bagi memaksimumkan penjualan produk atau perkhidmatan mereka.
“Selain itu, ia turut dapat membantu membangun jaringan perniagaan yang efektif melalui jalinan kerjasama dan kolaborasi serta mewujudkan reputasi jenama yang baik dalam kalangan usahawan menerusi pengiktirafan yang diberikan kepada usahawan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Himpunan Usahawan KEDA 2025 di sini, hari ini.
Turut hadir Pengerusi KEDA Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Pengurus Besar KEDA Afifah Omar.
Rubiah berkata Anugerah Usahawan KEDA turut diadakan pada perhimpunan itu dan sebanyak 15 anugerah disampaikan kepada usahawan yang menunjukkan prestasi cemerlang dan peningkatan dalam perniagaan selain turut menyumbang kepada komuniti setempat.
Beliau berkata sejak penubuhannya, KEDA membelanjakan RM73.88 juta bagi melaksanakan pelbagai program bantuan dan sokongan kepada usahawan desa dan untuk 2025, sebanyak RM4.33 juta diperuntukkan untuk meneruskan agenda pembangunan keusahawanan merangkumi latihan dan bimbingan, pelabelan dan promosi produk, bantuan peralatan perniagaan serta penyertaan dalam ekspo dan pameran.
“KEDA turut berdepan cabaran untuk melahirkan usahawan luar bandar dan desa yang berjaya antaranya peserta tidak mempunyai tahap komitmen yang tinggi, jaringan perniagaan yang terbatas, modal perniagaan yang terhad, kekurangan premis yang sesuai dan kurang asas ilmu perniagaan,” katanya.
Beliau berkata bagi 2025, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah memperuntukkan lebih RM360 juta melibatkan 77 program pembangunan yang memberi manfaat kepada lebih 27,300 usahawan di seluruh negara.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial